HARAPAN tinggi diletakkan di bahu pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Shaari Mat Husin untuk menyelesaikan krisis kewangan yang membelenggu pasukan berkenaan agar tidak hilang daripada radar Liga Malaysia (Liga-M).
Jawatankuasa eksekutif KAFA bersetuju melantik Naib Presidennya bagi memangku jawatan Presiden semalam, selepas mesyuarat itu memutuskan untuk merehatkan presidennya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah buat sementara waktu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu.
Bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 80-an, Hashim Mustapha berkata, sudah pasti tugas berat menanti Shaari untuk menguruskan persatuan berkenaan yang berdepan pelbagai krisis kewangan, hutang dan prestasi pasukan yang agak merosot.
Namun, Hashim yakin dengan pengalaman yang ada, Shaari mampu membawa idea baharu untuk mendapatkan dana sekali gus menyelesaikan masalah hutang dan cagaran pengurusan.
"Dia (Shaari) orang lama dalam KAFA, sudah tentu masak dengan pengurusan KAFA. Oleh itu, saya yakin Shaari mampu mencipta sesuatu untuk persatuan ini.
"Sebagai bekas pemain, bekas jurulatih dan anak jati negeri ini, saya berasa amat sedih serta rasa rugi besar sekiranya pasukan Kelantan yang suatu ketika menjadi pasukan yang digeruni, hilang dalam saingan liga tempatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Kelab The Red Warriors (TRWC), Rozaki Ab Kadir juga yakin Shaari boleh membawa impak besar kepada persatuan terutama untuk menangani pelbagai isu yang bertambah dari semasa ke semasa.
Katanya, keputusan Wan Abdul Rahim dan Afandi untuk berehat sementara waktu dijangka tidak memberi kesan besar kepada pengurusan tertinggi KAFA.
"Sudah pasti Shaari akan memberikan satu semangat dan buah fikiran baharu apabila diberikan tanggungjawab menguruskan KAFA walaupun untuk sementara waktu.
"Walaupun berlaku perubahan kepada pucuk pimpinan KAFA, apa yang pasti penyokong mahu imej Kelantan kembali pulih dan dipandang tinggi oleh peminat bola sepak di negara ini,” katanya. - Bernama