Seronok jangan sampai jejas akidah

Iklan

SEJAK kebelakangan ini, kita disogokkan dengan cabaran yang ‘menyeronokkan’ di media sosial. Kadangkala nampak seolah-olah tidak masuk akal ‘permainan’ tersebut, tetapi dek kerana rasa tercabar dan pantang dicabar, akhirnya ia disahut juga. Semua itu dilakukan sekadar suka-suka.

Daripada pelbagai jenis cabaran tersebut, antara yang agak popular termasuklah cabaran 10 tahun, lelaki memakai baju kelawar, cabaran Lathi dan ubah wajah berlainan jantina menggunakan aplikasi FaceApp.

Iklan
Iklan

Tidak salah untuk berhibur menggembirakan hati dan merehatkan minda kita. Bahkan, Islam juga tidak melarang kita berhibur selagi masih mengikut hukum-hakam agama.

Begitupun, melihat kepada cabaran-cabaran tadi, ada yang dilihat bercanggah dengan hukum syarak. Bahkan, ada yang ‘jatuh’ hukum haram dan makruh apabila kita melakukannya.

Iklan

Dalam cabaran lelaki memakai baju kelawar umpamanya, pendakwah dan penulis Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, Rasulullah SAW melarang keras kaum Adam memakai pakaian kaum Hawa. Begitu juga sebaliknya.

"Bahkan, perbuatan itu mendapat laknat daripada ALLAH dan rasul-NYa bagi sesiapa yang tahu tentang pengharamannya, tetapi tetap melakukannya,” jelas beliau dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya pada bulan April lalu.

Iklan

Pengharaman sama turut terkena tempiasnya pada cabaran Lathi yang popular sekitar bulan Mei lalu. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah, mereka yang melakukan cabaran itu adalah haram dan berdosa.

Negatif

Ini kerana, jelas beliau, wujudnya unsur-unsur pemujaan dan sihir yang bertentangan dengan pandangan Islam. Begitu juga tentang isu lirik, masyarakat tidak boleh melihat lirik sebagai isu terpisah, tetapi #LathiChallenge mesti dilihat sebagai satu pakej dengan video muzik yang tular.

"Dalam kata lain, tanpa video muzik berkenaan, maka tidak wujud #LathiChallenge. Larangan ditambah dengan perlakuan penari-penari wanita yang berpakaian mencolok mata dan mendedahkan kepada eksploitasi penonton.

"Apatah lagi gerak tari yang dipersembahkan menimbulkan fitnah, bercampur antara lelaki dan perempuan, menyerupai pemujaan, dan dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Tahqiq Al-Masa'il Siri ke-8: Isu #LathiChallenge, Hindari Budaya Jahiliah yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada minggu lalu.

Dua contoh tersebut jelas menghuraikan sudut negatif cabaran berkenaan di sisi agama Islam. Usahlah kita mempertikaikan lagi nasihat agamawan yang memang faqih dalam bidang masing-masing.

Tambahan pula, kita hidup di muka bumi ini bukan sekadar untuk beribadah atau membaca al-Quran sepanjang masa, tetapi tidak lupa juga untuk mengambil apa yang disediakan ALLAH di bumi ciptaan-NYA ini. Namun, dengan syarat, kita mestilah gunakannya dengan sebaik mungkin.

Bukankah Islam sudah menyediakan garis panduan yang lengkap menerusi khazanah al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW dan warisan hadis yang tidak ternilai harganya? Semua itu menjadi manual yang memandu kehidupan kita di dunia.

Sabda Rasulullah SAW:"Sesungguhnya orang yang paling aku sayangi dalam kalangan kalian adalah yang paling berakhlak mulia.” (Riwayat al-Bukhari)

Baginda turut bersabda:"Antara kecantikan Islam seseorang itu, dia meninggalkan perkara-perkara yang tiada keperluan baginya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, tidaklah sukar untuk kita fahaminya. Jauhilah perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri, orang lain mahupun agama. Peliharalah akhlak mulia sebagaimana yang diajarkan oleh Islam.

Seandainya terkhilaf, masih punya waktu untuk kita memperbetulkan mana yang salah. Yang penting, usaha dan tekad kita untuk berubah ke arah lebih baik. Seperkara lagi, jangan sesekali kita menghukum orang yang pernah terpalit dengan cabaran yang tiada manfaat tadi. Sama-sama kita saling mengingati dan menasihati antara satu sama lain.