SHAH ALAM - DAP tidak kisah menerima mana-mana calon Perdana Menteri dalam kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) Plus termasuk bekas penyandangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, asalkan mereka boleh menjadi boneka kepada parti itu, kata pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Menurutnya, beliau tidak hairan DAP sanggup mengetepikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakan pakatan parti itu sejak 20 tahun lalu dan beralih menyokong Dr Mahathir dan terbaharu Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.
Iklan
Iklan
"Bagi saya, DAP sebenarnya mahukan kuasa (mentadbir kerajaan), tetapi pada masa sama mereka perlukan calon Perdana Menteri untuk menjadi boneka bagi mengelakkan mereka dilabel rasis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Beliau turut mendakwa tindakan Dr Mahathir mengubah fikiran dengan mencalonkan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri juga ada kaitan dengan permainan politik DAP itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tun M mahu Shafie Apdal jadi PM
"Dr Mahathir tahu dia akan kembali menjadi Perdana Menteri boneka seperti mana tempoh 22 bulan PH mentadbir kerajaan sebelum ini, jadi atas sebab itu dia terpaksa mencalonkan Mohd Shafie.
"Paling penting, kolisi pakatan dalam blok pembangkang dikuasai DAP pada ketika ini sebenarnya tiada bentuk persefahaman sebenar dengan setiap parti bergerak dengan agenda politik masing-masing,” katanya.