SHAH ALAM - Polis merampas dadah bernilai hampir RM1 juta susulan tertangkapnya seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam serbuan di hadapan sebuah restoran di Jalan SS12/1B, Subang Jaya pada 23 Jun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, suspek yang merupakan penganggur ditahan kira-kira jam 8.50 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota JSJN Selangor.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek menjumpai dadah jenis heroin base seberat kira-kira 4.8 kilogram (kg).
"Soal siasat ke atas suspek kemudian membawa serbuan kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah di Shah Alam dan merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 8.1kg.
"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,800," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, dianggarkan kesemua nilai rampasan dadah adalah bernilai RM924,000.
Katanya, siasatan mendapati suspek yang mempunyai rekod lampau di bawah tindakan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) itu dipercayai telah aktif sejak tiga bulan lalu dengan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.
"Siasatan masih dijalankan dan suspek berusia 34 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.