MADA peneraju industri padi Malaysia

Iklan
Kawasan tanaman padi di bawah seliaan MADA menghasilkan 38 peratus sehingga 43 peratus bekalan makanan negara.

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang telah dirasmikan penubuhannya oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien yang ketika itu pemangku Perdana Menteri pada 30 Jun 1970 di Balai Besar, Alor Setar adalah langkah kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk desa dan meningkatkan hasil negara.

Kini, selepas 50 tahun penubuhan MADA, perubahan yang diketengahkan oleh institusi itu menampakkan kejayaan yang amat memberangsangkan apabila kawasan Muda di negeri Kedah dan Perlis muncul sebagai jelapang padi nasional negara.

Iklan
Iklan
Majlis Perasmian MADA oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien, pemangku Perdana Menteri pada 30 Jun 1970.

Sebanyak 38 sehingga 43 peratus bekalan padi datangnya daripada kawasan berkenaan yang sebahagian besarnya adalah hasil usaha komitmen tinggi MADA sendiri.

Semasa MADA ditubuhkan, 72 peratus petani yang mengusahakan sawah padi berada di bawah paras kemiskinan, namun kini angkanya dapat di-turunkan kepada paras bawah satu peratus sahaja dan ia adalah salah satu transformasi sosioekonomi yang berjaya diterjemahkan secara fakta.

Iklan

Kawasan Muda merupakan kawasan penanaman padi yang terbesar dan terpenting di Malaysia kerana melibatkan keluasan fizikal sebanyak 130,282 hektar, manakala keluasan pasel padi pula melibatkan 100,685 hektar yang diusahakan oleh kira-kira 57, 635 orang peladang.

Kawasan berkenaan melibatkan empat wilayah iaitu wilayah 1 Perlis, wilayah 2 Jitra, wilayah 3 Pendang dan wilayah 4 Kota Sarang Semut. Kesemua wilayah itu menyelia sebanyak 27 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Iklan

Padi adalah makanan ruji rakyat Malaysia dan sebab itulah industri tersebut sentiasa mendapat perhatian serta diberikan layanan yang agak istimewa kerana kepentingannya dari segi sosial, politik dan juga ekonomi setempat serta negara.

Peranan

Usaha kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) menubuhkan MADA dan membina dua empangan untuk pengairan di hulu Lembangan Muda iaitu Empangan Muda dan Empangan Pedu menyaksikan masyarakat, khususnya kehidupan petani di kawasan berkenaan berubah secara drastik.

Perasmian Empangan Pedu yang disempurnakan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1969.

Rancangan Pengairan Muda (RPM) telah mula dilaksanakan pada April 1966 di bawah RMK-1 yang merangkumi keluasan keseluruhan 96,558 hektar dengan kos sebenar berjumlah RM245 juta dengan RM114.6 juta daripada kos tersebut dibiayai oleh Bank Dunia, sementara baki kos sebanyak RM110.3 juta dibiayai kerajaan Malaysia.

Ia adalah projek pembangunan terbesar di Asia yang pernah dilaksanakan pada tahun 1960-an.

Hasilnya, musim padi yang dahulunya diusahakan sekali setahun kini boleh ditanam dua kali setahun, sekali gus menyaksikan purata hasil padi tahunan meningkat daripada hanya 3.37 tan sehektar setahun kepada antara 10 hingga 12 tan sehektar setahun (lima tan sehektar semusim hingga enam tan sehektar semusim).

Revolusi teknik penuaian juga turut berubah bagi membantu golongan petani memperoleh hasil padi dengan lebih cepat kerana menggunakan mekanisasi dan jualan padi secara pukal berbanding dahulu yang kebiasaan penuaian menggunakan kaedah tradisi seperti mengetam dan mengerat serta jualan dibuat menggunakan guni.

Varieti

Pengenalan varieti padi baharu turut membantu mempercepatkan tempoh matang padi seperti varieti MARDI Siraj 297 yang mengambil masa 105 sehingga 115 hari dan MR 220 CL2 (97 sehingga 113 hari), berbanding jenis padi tradisional seperti Malinja (137 sehingga 147 hari) dan Bahagia (137 sehingga 145 hari).

Menurut data-data yang dikaji MADA, peningkatan pendapatan pesawah juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak penubuhan MADA sehingga hari ini.

Sebelum penubuhan MADA, pendapatan bersih tahunan seisi rumah petani adalah sebanyak RM1,092 iaitu RM892 melibatkan hasil pertanian dan selebihnya hasil bukan pertanian yang dilakukan secara tidak langsung untuk menambah pendapatan mereka pada tahun 1966.

Namun, hasil peranan yang dimainkan MADA, pendapatan tahunan mereka berjaya ditingkatkan kepada RM4,000 setahun pada 1975 dan selepas lebih 48 tahun iaitu pada 2018, jumlah pendapatan bersih petani terus meningkat kepada RM33,827 setahun.

Kesannya, penubuhan MADA berjaya mengurangkan kadar kemiskinan khususnya dalam kalangan petani kawasan Muda, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup, pendapatan yang baik dan mampu memiliki rumah yang selesa.

Kajian oleh ahli akademik pada tahun 2012 mendapati hampir semua petani memiliki rumah sendiri, bekalan air paip dan elektrik, peti ais serta televisyen dan rata-rata mereka mengakui selesa dengan tahap sosioekonomi sekarang berbanding 50 tahun yang lalu.

Sumbangan

Pada tahun 1960-an sehingga 1970-an, kerajaan telah merangka pelbagai program untuk mencapai 100 peratus tahap sara diri dengan melakukan pelbagai strategi berasaskan pengeluaran, pembinaan kemudahan pengairan, insentif kemudahan kredit pada kadar yang rendah dan pembangunan infrastruktur pengairan serta saliran.

Usaha itu dilakukan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan beras yang diimport dari luar negara dan terkini Dasar Agro Makanan Negara (DAN) yang ditetapkan dari tahun 2011 sehingga 2020 perlu ditingkatkan sehingga 70 peratus.

Kaedah tradisional menggunakan kerbau bagi penanaman padi pada zaman dahulu.

Ia mula menampakkan hasil apabila pada 2013, penilaian sasaran tersebut berjaya dicapai sebanyak 72.5 peratus iaitu melebihi 2.5 peratus sasaran asal yang ditetapkan DAN.

Sawah padi baharu.

Kejayaan itu turut dibantu oleh kawasan Muda yang menyumbang sebanyak 36 peratus dan ia adalah sumbangan terbesar MADA berbanding kawasan jelapang padi yang lain di seluruh Malaysia.

Ia juga adalah kejayaan daripada langkah susulan sebelum itu iaitu melalui Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) yang dirangka dan sasaran yang telah ditetapkan pada tempoh tersebut adalah sebanyak 65 peratus.

Pelbagai cabaran telah dikenalpasti bakal menggugat usaha yang telah dirancang untuk mengoptimumkan hasil keluaran MADA, antaranya petani yang berumur purata 60 tahun ke atas.

Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) adalah salah satu langkah untuk menangani cabaran tersebut.

Petani merupakan tulang belakang industri makanan negara dan kerajaan melalui MADA mahu terus meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan melalui agenda PPSB yang digerakkan pada tahun 2020 dengan fokus kepada tiga kelompok iaitu pengusaha sawah sedia ada, usahawan padi muda dan PPK atau GLC (MADA Corp).

Pengusaha sawah sedia ada perlu meningkatkan keluasan tanaman padi sehingga lima hektar bagi mencapai pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan, manakala usahawan padi muda melibatkan keluasan tanaman padi sebanyak 50 hektar bagi mencapai pendapatan RM15,000 sebulan.

Bagi PPK atau GLC pula, keluasan tanaman padi adalah sehingga 200 hingga ga 1,000 hektar dan mencapai pendapatan RM100,000 sebulan serta terlibat secara langsung dalam keseluruhan rantaian nilai industri padi dan beras.

Sistematik

PPSB adalah sistem pengurusan yang dilakukan secara sistematik dan berkesan, sekali gus mampu meningkatkan hasil melalui pengurangan kos operasi termasuk memperkemaskan pengurusan estet ke arah yang lebih efisien.

Program peningkatan hasil padi juga dijalankan menerusi bantuan teknologi hasil tinggi dengan amalan pengurusan ladang, penggunaan input pertanian dan pengurusan air yang dilakukan secara efisien.

Saliran dan pengairan air yang baik diuruskan oleh MADA telah membantu golongan petani untuk penanaman padi dua kali setahun.

Teknologi terkini iaitu sistem telemetri, automasi pintu air dan radar bagi memantau pengurusan air serta sistem amaran awal pemantauan perosak dan penyakit digunakan bagi memastikan pencapaian hasil yang terbaik.

PPSB adalah projek yang akan membantu menjana keuntungan kepada PPK MADA, seterusnya memberi pulangan semula kepada ahli-ahli.

Keuntungan bersih 27 buah PPK MADA daripada projek tersebut untuk tahun 2019 adalah sebanyak RM5.5 juta atau purata RM 200,000/PPK.

Bagi merancakkan lagi program PPSB, usahawan padi termasuk usahawan padi muda akan dilibatkan.

Terkini seramai 156 orang usahawan padi yang mengusahakan sawah melebihi 10 hektar telah dikenalpasti.

MADA Rice Training Centre (MRTC) juga akan diperhebatkan peranannya bagi melahirkan generasi peladang pelapis yang berdaya maju dan pembangunan pengetahuan serta kemahiran.