PEKAN - Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Shukri Mohd Ramli menegaskan isu yang dibangkitkan semasa kempen bukan lapuk dan tidak laku.
Menurutnya, sebaliknya ia adalah isu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan Pahang meskipun tindakan penyelesaian sudah diambil berhubung masalah perumahan generasi kedua Felda, isu air dan pencemaran alam sekitar.
"Siapa kata saya bawa isu lapuk dan tak laku. Sebenarnya, isu ini rakyat mahu kerajaan selesaikan bukan setakat mengumumkan peruntukan, tetapi apa langkah yang telah diambil kerajaan selepas pengumuman dibuat.. itu rakyat hendak tahu.
"Bukan dengan berjanji untuk beri peruntukan berjuta-juta.. tetapi tunai ke tidak? Itu isunya," soalnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas mengadakan sesi beramah mesra bersama anak muda Felda Chini 1 di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN - PRK DUN Chini: Calon Bebas ketandusan isu
Mohd Shukri mendakwa kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai calon Bebas ketandusan idea itu adalah tidak tepat.
Menurutnya, walaupun isu perumahan dianggap ketinggalan zaman, namun masalah itu membelenggu anak-anak peneroka generasi kedua di Chini dan beliau menganggap isu itu perlu dihangatkan kembali.
Jelasnya, kebanyakan generasi kedua bekerja sendiri dan harga rumah yang dibina melebihi RM100,000 membuatkan ramai anak-anak Felda tidak dapat memiliki rumah.
"Isu di sini, bagaimana kerajaan Pahang mahu bantu anak peneroka Felda yang tidak mempunyai slip gaji untuk memiliki rumah sendiri? Adakah kerajaan ada kaedah untuk menyelesaikan perkara ini?
"Jadi, saya mainkan isu itu bukan setakat bangunan terbengkalai sahaja, tetapi kaedah bagaimana generasi kedua boleh memiliki rumah. Kalau mereka tiada dokumen (slip gaji), isu utama yang patut kerajaan fikirkan," katanya.
Beliau bagaimanapun mencadangkan agar kerajaan Pahang memikirkan jalan penyelesaian terbaik dengan menyediakan rumah mampu milik kepada peneroka dan memudahkan urusan pinjaman perumahan.
Dua hari lalu, Wan Rosdy menyifatkan calon Bebas ketandusan isu kerana masih memainkan masalah rakyat yang sudah diselesaikan oleh kerajaan.