PASIR MAS - Umpama menunggu malaikat maut mencabut nyawa, demikian luahan Muhammad Faris Ramli,22, salah seorang daripada 12 mangsa yang terselamat dalam insiden bot karam dipukul ribut ketika sedang mencandat sotong di kawasan perairan Kemasin, Bachok malam tadi.
Muhammad Faris yang sempat berpaut pada pelampung penanda pukat lebih satu jam berkata, dia hanya memikirkan soal maut sahaja selepas melihat bot yang dinaiki bersama rakan-rakan musnah dipukul ribut dalam insiden ngeri itu.
"Sepanjang tempoh itu juga saya hanya mampu berdoa dan menangis selain menjerit sekuat hati bagi meminta bantuan.
"Hal ini kerana saya dikelilingi lautan yang luas dan keadaan cuaca gelap serta hujan. Jadi, saya tidak mempunyai pilihan kecuali berbuat demikian dengan harapan ada yang datang membantu kami," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang To' La di sini hari ini.
Mengimbau semula detik ngeri itu, Muhammad Faris berkata, kejadian berlaku dengan cukup pantas tanpa sempat dia dan rakan-rakan berbuat apa-apa.
Katanya, sebelum kejadian tekong bot mengarahkan dia dan rakan-rakan untuk berlindung di dalam bot selepas cuaca tenang bertukar menjadi gelora akibat ribut datang secara mengejut.
"Selepas masuk ke dalam bot, kami semua berdiam diri dan kemudian tekong memberitahu sauh bot telah putus.
"Selepas itu bermulalah detik ngeri buat kami semua apabila bot tiba-tiba terbalik dan kemudian pecah selepas dipukul angin kencang," katanya.
Muhammad Faris berkata, situasi itu menyebabkan dia dan semua rakan-rakan termasuk tekong serta pembantunya terjatuh ke dalam laut.
Katanya, lebih menyayat hati empat rakan mereka telah terkorban dalam insiden itu manakala empat lagi lagi masih hilang.
"Alhamdulillah umur saya masih panjang apabila sempat berpaut pada pelampung penanda pukat.
"Saya juga bersyukur apabila sempat menyelamatkan dua rakan Harif Mat Yasin,50, dan Ahmad Roslan Musa,31, yang meminta bantuan.
"Semasa sedang melawan ombak saya terdengar sayup-sayup suara Harif dan Roslan meminta saya menyambut tangan mereka.
"Saya tidak mahir berenang tapi dengan kekuatan dan semangat yang ada ketika itu saya cuba menyambut tangan mereka berdua dan biarkan mereka berpaut di tong ikan yang terapung," katanya.
Menurutnya, kedua-dua rakannya itu berpaut pada tong ikan yang terdapat di dalam kapal tersebut sehinggalah bot nelayan berhampiran datang memberikan pertolongan.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut bot karam dibadai ribut
Usaha mencari, menyelamat 4 lagi pemancing hilang diteruskan
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, empat lelaki terkorban, empat lagi masih hilang manakala 12 terselamat dalam kejadian bot karam dibadai ribut di perairan Kemasin sejauh 10 batu nautika dari Jeti Pangkalan Kemasin di sini malam tadi.
Kejadian berlaku pada jam 8.30 malam membabitkan bot nelayan yang membawa 20 lelaki termasuk pemancing berusia antara 18 sehingga 60 tahun.
Antara 12 yang terselamat ialah tekong bot yang berusia 60 tahun berasal dari Kuala Besar, Kota Bharu manakala dua daripada empat mangsa yang meninggal dunia dikenalpasti Mohd Syahrizan Daud berusia 40-an dan Harun Daud,50, kedua-duanya dari Pasir Mas.