KUALA LUMPUR - Polis mengingatkan masyarakat agar lebih berhati-hati apabila berkenalan dengan individu tidak dikenali di media sosial sehingga sanggup menyerahkan wang dengan membuta tuli.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, mengikut kes yang dilaporkan, mangsa terus mempercayai suspek walaupun hanya kenal di media sosial dan tidak pernah berjumpa.
"Malah, mangsa sanggup menyerahkan wang dengan sewenang-wenangnya. Bak kata Pengarah JSJK terdahulu (Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad), kenal 'hantu' terus percaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerana cinta, simpanan RM1.15 juta lesap
Tambahnya, beliau juga mendedahkan, JSJK pernah menerima kes apabila mangsa mengalami kerugian melebihi RM1.1 juta.
"Selain itu, sebelum ini terdapat mangsa kerugian melebihi angka tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sinar Harian semalam yang melaporkan seorang wanita sanggup meminjamkan wang simpanan keluarganya bernilai RM1.1 juta kepada seorang lelaki yang dikenali menerusi aplikasi 'Tagged' disebabkan mabuk bercinta.
Ketua JSJK Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani memaklumkan, wanita berusia 57 tahun itu bagaimanapun hanya menyedari ditipu selepas membuat sebanyak 65 transaksi sejak 23 Oktober tahun lalu sehingga 31 Mei lalu atas nombor akaun tidak dikenali.
Mangsa yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan itu telah berkenalan dengan suspek lelaki melalui aplikasi 'Tagged' pada 9 September tahun lalu.
Dalam perhubungan mereka, suspek telah meminta bantuan kewangan dengan mangsa atas alasan dia berada di luar negara.