BANGKOK - Kakitangan sebuah hospital di Udon Thani, Thailand tergamam sebaik melihat sebuah kerusi roda bergerak sendiri menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hospital itu.
Insiden menyeramkan dirakam CCTV berkenaan pada jam 3 pagi 23 Mac lalu itu kembali tular di media sosial hingga menjadi bualan hangat netizen.
Lapor The Sun, kerusi roda dipercayai milik pesakit yang sudah meninggal dunia telah bergerak perlahan dari sudut kiri terus ke hadapan tanpa ada sesiapa menolaknya.
Kerusi itu kemudian berhenti, membelok sedikit sebelum mengundur dan terus menghampiri pintu masuk hospital.
Kejadian menakutkan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pekerja hospital apabila keesokan harinya didapati kerusi roda berkenaan telah rosak.
Pengarah hospital tempatan Ban Kham Doung, Thanasak Pakdeenuan mengesahkan bahawa ia adalah kerusi roda manual.
Beliau mendakwa ia pasti bergerak sendiri dan tidak mungkin seseorang dapat mengendalikannya dengan jarak jauh.
Thanasak menambah kerusi roda itu disumbangkan oleh pesakit hospital setelah dia meninggal dunia.
Hospital kini merancang untuk mengadakan upacara doa kepada bekas pemilik kerusi roda dan diharapkan upacara itu dapat menenangkan jiwa yang resah.