BACHOK - Mayat kelima mangsa lemas dalam tragedi bot karam di Kuala Kemasin, Ahmad Syafiq Che Alim, 30, berjaya ditemukan dan dibawa ke jeti Kuala Kemasin di sini petang ini.
Mayat yang ditemukan jam 7 pagi di kawasan berkedalaman 40 meter itu dibawa bot penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke jeti tiba kira-kira jam 2.15 petang.
Pengecaman mayat dilakukan ibu Syafiq, Daniah Deraman, 62, dan ahli keluarga mangsa.
Dengan penemuan itu, masih tinggal tiga lagi mangsa yang belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut bot karam dibadai ribut
Usaha mencari, menyelamat 4 lagi pemancing hilang diteruskan
Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhammad Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di ruang rehat di dalam bot tersebut.
"Bot berkenaan ditemui mengiring di permukaan air dan anggota selaman menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana berada di ruangan yang sempit, selain peralatan memukat yang membahayakan penyelam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelasnya, pihaknya juga tidak dapat membuat pengesahan berhubung tiga lagi mangsa lain sama ada masih berada di kawasan yang sama atau dihanyutkan arus.
"Kita membuat percubaan sebanyak dua kali untuk menunda bot tersebut dengan bantuan tiga buah bot nelayan dan pukat tunda untuk menarik bot tersebut masuk ke muara Kuala Kemasin untuk dibuat pemeriksaan lanjut," katanya.
Sementara itu, Daniah ketika ditemui berkata, dia dan keluarga reda dengan apa yang terjadi dan sabar menerima ketentuan ALLAH SWT.
"Itu memang anak saya, saya cam baju yang dia pakai. Kami bersyukur dia sudah ditemui," katanya.