Belum ada pelajar di Johor jadi 'keldai' Macau scam

Iklan
Macau Scam
JOHOR BAHRU - Polis Johor belum menerima sebarang maklumat terdapatnya pelajar di negeri ini yang dibayar untuk membuka akaun bank bagi kegiatan Macau scam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pemantauan akan sentiasa dilakukan bagi memastikan operasi jenayah komersial itu dapat ditangani sebaiknya.

"Setakat ini belum ada maklumat penglibatan pelajar dalam kes ini. Namun, pemantauan dan siasatan akan sentiasa dilakukan.

"Berhubung Macau Scam ini, kita sudah berkali-kali beri ingatan jangan percaya. Fasiliti di Malaysia ini pun cukup untuk dapat pengesahan sebetulnya. Penipuan ini adalah seni dan sentiasa meyakinkan jadi kita perlu hati-hati,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, penglibatan dan kerjasama daripada ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan masalah ini tidak melibatkan para pelajar.

"Ibu bapa harus mainkan peranan, mereka perlu peka dan sentiasa maklumkan kepada anak-anak mereka jangan mudah percaya kepada sumber yang tidak betul,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memaklumkan terdapat pembabitan golongan pelajar yang diupah menjadi ‘keldai’ akaun.

Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Harjinder Kaur Gurdial Singh berkata, sindiket jenayah komersil seperti Macau Scam, Love Scam, Parcel Scam dan Pinjaman Tidak Wujud (PTW) ini dikesan akan mendapatkan seseorang untuk dijadikan mangsa.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar jadi 'keldai' akaun kerana wang]