TANAH MERAH - Polis Kelantan masih menjalankan siasatan berhubung kes dua kanak-kanak berusia 9 dan 12 tahun yang dipercayai keluar rumah untuk ke Golok,Thailand bagi mencari bapanya dengan membawa duit tabung di Pasir Tumboh di sini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, hasil siasatan yang dilakukan terhadap ibunya, dua beradik itu tiada dengan bapanya setakat semalam.
"Berkemungkinan semasa ibunya menghubungi bapa kanak-kanak berkenaan mereka belum sampai ke rumah.
"Namun kita jalankan siasatan untuk tindakan susulan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui di Tanah Merah di sini hari ini.
Hasanuddin berkata, kanak-kanak berkenaan membawa sejumlah wang bernilai RM 35 yang diambil daripada tabung.
"Melihatkan situasi ini berkemungkinan ibu dan ayah mereka menghadapi masalah rumahtangga.
"Apapun kita harap jika berlaku situasi seperti ini ibu bapa tidak mendedahkan anak-anak dengan masalah mereka sehingga menyebabkan kanak-kanak ini bertindak sendiri.
[ARTIKEL BERKAITAN: Budak hilang, cari bapa di Golok]
Sinar Harian hari ini melaporkan dua kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan adiknya berusia 9 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah mereka di Pasir Tumboh, di sini, semalam.
Nur Fatihah Najwa Seman, 12, dan Siti Nur Insyirah, 9, hilang selepas keluar dari rumah mereka pada jam 4 petang kerana dipercayai mahu mencari bapa mereka yang berada di Golok, Thailand.