SULAWESI - Seorang pekerja binaan maut selepas dibelasah penduduk yang berang melihat lelaki itu memukul isterinya gara-gara lewat membawa makanan.
Tragedi itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan penduduk Gowa, Sulawesi Selatan, lapor Tribunnews.
Mangsa berusia 42 tahun parah setelah diserang empat lelaki dengan senjata tajam.
Ketua Unit Polis Siasatan Jenayah Gowa, AKP Jufri Natsir berkata, kejadian itu berlaku kerana mangsa bertindak memukul isterinya.
"Penduduk melihat kejadian itu cuba membantu dan menghalang tindakan suaminya yang memukul isteri.
"Bagaimanapun, akibat pergaduhan itu lelaki tersebut meninggal dunia kerana dipercayai diserang menggunakan senjata tajam.
"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Bhayangkara untuk bedah siasat dan jam 11.00 pagi tadi, jenazah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Desa Bontojai, Pakkatto," katanya.
Sementara itu, isteri dikenali Mira, 40, serta penduduk kampung Yusnan Hasan, 55; Imam, 18; Robi, 65, dan Abdullah, 66, juga mengalami kecederaan masih menjalani rawatan intensif di Hospital Umum Daerah (RSUD) Syech Yusuf Gowa.
Dalam pada itu, kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis.