PASIR GUDANG - Tiga bilik di tingkat tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3, Taman Air Biru di sini terbakar hari ini.
Dalam kejadian pada jam 9.57 pagi itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku kerana 250 pelajar Tingkatan Lima, 81 guru, sembilan kakitangan sekolah dan tujuh pekerja lain tidak berada dalam bilik itu.
Kebakaran di bilik akses, bilik stor am dan bilik sejarah yang bersebelahan antara satu sama lain itu disedari seorang guru sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Sejurus itu semua pelajar Tingkatan Lima yang hadir bersama-sama guru dan kakitangan berkumpul di kawasan padang sekolah berkenaan.
Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Faizul Selamat berkata, seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Psir Gudang, BBP Johor Jaya dan BBP Larkin dikejarkan ke tempat kejadian.
"Mereka dibantu tiga jentera Fire Rescue Team (FRT), dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu lori tangki air. Tindakan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran dan empat pancutan sumber air dari pili bomba berhampiran.
"Kebakaran melibatkan bilik stor am berukuran 10x40 kaki, bilik sejarah 20x50 kaki dan bilik akses berukuran 20x40 kaki. Kebakaran dapat dikawal dan operasi tamat pada jam 12.44 tengah hari," katanya ketika ditemui pemberita.
Mohamad Faizul berkata, kerugian sebenar dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, Kuswandi Tayen meninjau keadaan tiga bilik tersebut selepas kebakaran.
Menurut Mazlan, bantuan segera menerusi bajet khas akan disalurkan untuk sekolah berkenaan yang mempunyai kapasiti 1,110 pelajar.
"Kerugian dianggarkan RM1 juta. PPD akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan akan mendapat nasihat pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Kita akan mohon bajet Persekutuan. Sekolah tidak ditutup dan akan beroperasi seperti biasa," katanya.