Status Pengerusi SPR masih jadi tanda tanya

Iklan
Azhar Azizan

SHAH ALAM - Spekulasi mengenai peletakan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun terus menjadi tanda tanya.

Sinar Harian difahamkan Azhar yang dilantik sebagai Pengerusi SPR pada September 2018 dikatakan melepaskan jawatan itu semalam, susulan beliau dicalonkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.

Iklan
Iklan

Malah ketiadaan kelibat Azhar yang turut dikenali sebagai peguam hak asasi manusia itu pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Balai Polis Chini hari ini turut menguatkan lagi spekulasi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Perjelas cadangan Pengerusi SPR sebagai Speaker Parlimen baharu

Iklan

Sehingga artikel ini ditulis, Sinar Harian masih cuba untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara terbabit dengan menghubungi Azhar dan juga Timbalan Pengerusinya, Profesor Dr Azmi Sharom.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan pengesahan berhubung pencalonan Azhar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan gagal menemui jawapan positif.

Iklan

Setiausaha Akhbar Takiyuddin sebaliknya memaklumkan pihak mereka masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menghantar usul bagi menggantikan Yang Dipertua Dewan dan timbalannya, Nga Kor Ming, pada 26 Jun lalu dan dijangka membentangkannya pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 13 Julai ini.

Begitupun, Ahli Parlimen Batu Pahat merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak terjejas dengan pencalonan baharu itu.