KUALA LUMPUR - Polis menyerbu sebuah syarikat di Petaling Jaya, Selangor hari ini, untuk siasatan sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
"Siasatan awal mendapati sebanyak 1,000 naskah buku telah dicetak yang mana 687 naskah terjual secara dalam talian manakala 313 naskah masih tersimpan dan dirampas.
"Polis dalam proses untuk meneliti buku berkenaan dan kita telah kenal pasti siapa yang melakar muka hadapan buku tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit buku didakwa hina Jata Negara mohon maaf
Polis terima 21 laporan kes hina Jata Negara
KDN arah polis siasat kes ubah Jata Negara
Menjawab pertanyaan jika ada tangkapan berhubung siasatan kes berkenaan, Huzir tidak menolak kemungkinan perkara itu.
Katanya, tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat keperluan untuk pihaknya bertindak sedemikian.
Tambahnya, setakat ini, sebanyak 32 laporan diterima pihak polis berhubung kes berkenaan.
"Kes disiasat Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan.
end