Adam buru kelompok lima terbaik

Iklan
Adam Norrodin

Pelumba Moto2 negara, Muhamad Adam Norrodin menyasarkan kelompok lima terbaik musim ini menjelang perlumbaan Pusingan 1 dan 2 Kejuaraan Eropah FIM CEV di Circuito do Estoril Autódromo Algarve, Portugal mulai 4 hingga 7 Julai ini.

Menurut Adam, 22, yang mewakili Liqui Moly Intact SIC Junior Team, sasaran yang diletakkannya itu agak realistik berikutan ketika ini tidak banyak kejuaraan berlangsung akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Iklan
Iklan

"Untuk Kejuaraan FIM tahun ini, saya akan bersaing dalam kategori CEV Moto2. Syukur alhamdulillah, ini yang kami tunggu selama ini. Saya sudah tidak sabar untuk kembali ke litar perlumbaan.

"Saya berharap Kejuaraan FIM tahun ini akan berlangsung mengikut jadual dan Insya-ALLAH, saya akan cuba yang terbaik sepanjang dua minggu berada di Portugal," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dua lagi pelumba muda negara yang bakal berentap di bumi Portugal nanti ialah Muhammad Sharul Ezwan, 16, yang turut mewakili Liqui Moly Intact SIC Junior Team dalam kategori European Talent Cup (ETC) dan Muhammad Syarifuddin Azman, 19, mewakili Monlau Motorsport dalam kategori CEV Moto3.

Ketiga-tiga pelumba terbabit telah berlepas ke Portugal semalam kecuali Danial Syahmi Ahmad Shahril, 18, kerana masih menunggu jadual perlumbaan bagi kategori Idemitsu Asia Talent Cup (IATC).

Iklan

Sementara itu, Muhammad Syarifuddin berazam untuk menampilkan tunggangan terbaik seterusnya mengharumkan nama Malaysia pada kejuaraan kali ini.

"Saya akan memastikan segala persiapan berjalan lancar demi mencapai kejayaan yang diimpikan. Perasaan saya sangat gembira kerana dapat berlumba kembali, Insya-ALLAH, saya akan melakukan sehabis baik untuk negara.

"Dengan persiapan yang dibuat selama ini, saya berharap semuanya berjalan lancar. Pada masa sama, saya juga berharap dapat mencapai sasaran ditetapkan,” jelasnya.