BATU GAJAH - Kerajaan negeri berhasrat untuk menganjurkan pelbagai kejohanan sukan ekstrem mulai tahun depan sebagai cabang pelancongan sukan baharu negeri.
Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, industri pelancongan sukan mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat bukan sahaja untuk kesihatan tetapi dapat ‘membuka mata’ peserta akan produk-produk pelancongan yang ada.
"Selain baik untuk kesihatan, penganjuran sukan ekstrem seperti basikal bukit, jamboree dan sebagainya dapat meningkatkan industri pelancongan di setiap daerah.
"Kita berhasrat adakan program sebegini pada pertengahan tahun hadapan membabitkan semua kawasan di seluruh Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melepaskan 500 peserta Batu Gajah Mountain Bike@ Kellie’s Castle anjuran Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli dan Pegawai Daerah dan Tanah Kinta, Halizah Sipun.
Menurutnya, Lembah Kinta Geopark umpamanya mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk diterokai antaranya Sungai Kampar, Gua Tempurung dan sebagainya.
Sementara itu, Mohamad Razif berkata, acara tahunan itu selari dengan matlamatnya untuk mempromosikan Batu Gajah sebagai destinasi pelancongan.
"Jarak 42KM itu, peserta bukan sahaja merasai pengalaman berbasikal tetapi dapat menikmati keunikan Batu Gajah itu sendiri dari aspek tinggalan sejarah dan keunikan alam mahupun sebagai destinasi sukan.
"Kejohanan itu terbuka kepada empat kategori membabitkan terbuka lelaki dan wanita serta Veteran,” katanya.