Malaysia Airports bersedia sempadan antarabangsa dibuka semula

Iklan
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)

KUALA LUMPUR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia untuk mengendalikan peningkatan jumlah penumpang susulan kebenaran perjalanan antara koridor selamat atau ‘travel bubble’ apabila kerajaan bersetuju untuk membuka semula sempadan antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Beliau berkata, pengendali lapangan terbang itu tidak menghentikan operasinya sepanjang pandemik Covid-19 dan telah melaksanakan langkah pencegahan tambahan untuk memastikan keselamatan penumpang, termasuk meletakkan mesin pengimbas suhu badan di lapangan terbang, mewajibkan penggunaan pelitup separuh muka serta mengehadkan tempat masuk dan keluar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan
Iklan

"Kami masih beroperasi. Hanya jumlah penerbangan yang dikurangkan hingga di bawah 5.0 peratus. Walaupun semasa puncak wabak ini, kami masih mengendalikan kira-kira 5,000 hingga 10,000 penumpang sehari melalui KLIA dengan beberapa penerbangan untuk membawa pulang rakyat kita dari seluruh dunia.

"Kami telah mengendalikan (pergerakan penumpang), cuma sekarang ini adalah bagaimana untuk mengurangkan kesesakan pada masa depan. (Apa) yang perlu kami pastikan ialah kami sudah sedia sepenuhnya bagi keputusan ujian COVID-19," katanya semasa taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan MAHB di sini hari ini.

Iklan

Mohd Shukrie berkata, ujian biasanya mengambil masa beberapa jam untuk siap, yang boleh mempengaruhi kelancaran keseluruhan pergerakan penumpang di lapangan terbang.

Malaysia sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan ‘travel bubble’ dengan enam negara iaitu Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

Iklan

Keputusan itu, bagaimanapun, belum dimuktamadkan lagi memandangkan persetujuan bersama mengenai prosedur operasi standard (SOP) dengan negara-negara tersebut masih dalam perbincangan.- Bernama