Para pengiklan yang memboikot Facebook telah berubah menjadi aktivis global digital yang menyasarkan untuk mengekang perasaan kebencian dan kandungan yang meracuni pemikiran di gergasi media sosial itu.
Bagaimanapun, kesannya itu masih belum dapat dilihat dengan jelas.
Langkah yang tidak pernah dilakukan itu telah diikuti oleh beberapa jenama utama lain seperti Unilever, Starbuck, Levis dan Coca-Cola dengan 200 firma menghentikan pengiklanan di rangkaian sosial utama di dunia itu.
Sebahagian syarikat telah menandatangani kempen #StopHateForProfit (Hentikan Kebencian Untuk Keuntungan) yang dikendalikan oleh para aktivis sosial manakala yang lain bertindak bersendirian bagi mengelak suasana toksik di Facebook.
Syarikat Ford sebagai contoh berkata, ia akan menghentikan semua iklan media sosial untuk menilai semula kehadirannya di platform tersebut.
Ia menambah kandungan termasuk ucapan kebencian, keganasan dan ketidakadilan sosial di platform media sosial perlu dihapuskan.
Boikot itu berjaya mencapai momentum di tengah-tengah ketidaktenteraman sivil ketika para aktivis mendesak Facebook menjadi lebih agresif dalam menghalang kandungan perkauman yang membangkitkan kemarahan ramai orang termasuk daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
"Kami memasuki sepenuhnya era baharu aktivis digital," kata Greg Sterling iaitu pakar pasaran digital dan editor penyumbang di Search Engine Land.
Semua media sosial akan didesak untuk memeriksa semula atau mengubahsuai serta melaksanakan dasar-dasar baharu yang tidak membenarkan kebencian dan perkauman daripada berkembang.
Michelle Amazeen, seorang profesor di Universiti Boston berkata, tindakan terbaru mencadangkan supaya media sosial perlu mengambil isu itu secara serius.
Beliau menambah bahawa gerakan boikot itu mengetengahkan bahawa pada akhirnya media sosial akan menjadi pihak terakhir yang bertanggungjawab menghentikan sifat kebencian serta keganasan bagi mendapatkan keuntungan.
Satu gelombang pengumuman pada minggu lalu telah menyebabkan saham Facebook jatuh menyebabkan ia kerugian kira-kira AS$50 bilion (RM215 bilion) di pasaran sebelum kembali naik pada Isnin lalu.
Facebook pernah memberikan reaksi pada Jumaat lalu dengan mengumumkan ia akan mengharamkan kategori kandungan bersifat kebencian dalam iklan-iklannya.
Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berkata, Facebook akan turut menandakan hantaran yang mempunyai nilai berita tetapi melanggar peraturan keganasan dengan mengikut langkah laman sosial Twitter yang menggunakan tanda seumpama itu pada kenyataan Trump.
Facebook berkata, ia telah melabur dengan banyak dalam usaha untuk membendung isu perkauman berikutan pembunuhan seorang lelaki berpenduduk Afrika Amerika, George Floyd pada 25 Mei lalu yang dipercayai dilakukan oleh seorang anggota polis Minneapolis di AS
Walaupun diboikot, Facebook mempunyai tujuh juta pengiklan dengan majoritinya ialah daripada perniagaan kecil dan sederhana.
Seorang profesor pemasaran di Universiti Pace, Larry Chiagouris berkata, kebanyakan jenama yang memboikot telah beransur hilang kerana semangat keghairahan untuk memboikot itu akan pudar.
Chiagouris berkata, Facebook di seluruh dunia dilihat masih menjadi platform media sosial yang menarik dengan tiada tanda-tanda penurunan dalam kalangan penggunanya.
"Boikot itu mungkin menyebabkan pengurangan dalam pendapatannya sedikit tetapi ia akan melantun semula.
"Betul atau salah, orang ramai masih menyayangi akaun Facebook mereka," ujarnya.
Seorang penganalisis ekuiti Morningstar, Ali Mogharabi bersetuju bahawa Facebook dipercayai akan mendapat kesan kewangan yang minima.
"Kami meramalkan kebanyakan pengiklan akan kembali ke Facebook berdasarkan kepada penggunanya lebih daripada 2.6 bilion. Pada masa yang sama, Facebook boleh mengambil langkah untuk menunjukkan ia akan mengurangkan ucapan berbaur perkauman di platform itu," tambahnya.
Kempen boikot itu yang termasuk kumpulan Liga Anti-Fitnah, Warna Untuk Perubahan dan NAACP menyatakan ia mahu meneruskan tekanan ke atas Facebook walaupun terdapat perubahan dalam tindakan yang diumumkan pada minggu lalu.
Kumpulan tersebut mendesak eksekutif tertinggi dengan menggunakan kepakaran hak asasi manusia untuk memantau dasar-dasar Facebook tentang diskriminasi dan pilih kasih serta satu audit bebas mengenai kebencian serta maklumat yang silap ditubuhkan. - AFP