KOTA KINABALU - Bekas Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini mengesahkan beliau telah memohon untuk menyertai semula UMNO.
Beliau berkata, permohonan itu dibuat pada 26 Mei lalu melalui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, beliau membuat keputusan itu setelah merenung kembali keputusannya sebelum ini termasuk keluar UMNO secara ‘en-bloc’ pada 12 Disember 2018 yang kini dianggapnya sebagai satu kekhilafan.
ARTIKEL BERKAITAN: Salleh Keruak sahkan mohon jadi ahli PKR melalui online
PKR belum buat keputusan permohonan Salleh Keruak: Anwar
"Kini saya menyerahkan kepada UMNO khususnya Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Sabah diketuai oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk menimbang permohonan tersebut.
"Saya berhasrat untuk menyumbang sepenuh usaha dan tenaga saya bersama UMNO dalam meneruskan agenda perjuangan membina negara Malaysia yang tercinta,” kata Salleh dalam catatan terbaharu blog beliau sallehsaid.com.
Semalam, Bung Moktar memaklumkan pihaknya sudah menerima surat permohonan Salleh untuk menyertai semula UMNO, dan permohonan itu sedang dipertimbangkan dan diperhalusi untuk kelulusan.
ARTIKEL BERKAITAN: Salleh Keruak mohon kembali sertai UMNO
Terdahulu, Salleh memaklumkan beliau membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.
Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas beliau bersama sebilangan besar pemimpin UMNO Sabah bertindak keluar parti pada Disember 2018. - Bernama