JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori dan dua kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah treler di KM100.3, Lebuhraya PLUS arah selatan, berdekatan susur keluar Yong Peng Utara awal hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Zakaria Mohamed berkata, identiti pemandu lori jenis Hino itu belum dikenal pasti manakala dua kelindan berkenaan dikenali sebagai Edi Suherman dan Ujang Jamaludin, kedua-duanya berumur dalam lingkungan 20-an.
Iklan
Iklan
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada 4.40 pagi tadi dan dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota dihantar ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat.
"Setiba di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori Hino yang melanggar bahagian belakang sebuah lori treler Tiong Nam,” katanya dalam kenyataan.
Zakaria berkata, ketiga-tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan mereka dan dikeluarkan oleh pihak bomba.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan yang berada di lokasi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi berkenaan tamat pada 7.42 pagi tadi, katanya. - Bernama