BACHOK - Jabatan Perikanan Negeri Kelantan mengesahkan bot yang dibadai kepala ribut di Kuala Kemasin malam kelmarin memiliki lesen perikanan yang sah
Pengarahnya, Nazri Ishak berkata, aktiviti memancing dan mencandat sotong yang dilakukan kumpulan tersebut pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) juga tidak menyalahi peraturan.
"Sebenarnya Jabatan Perikanan membenarkan bot nelayan melakukan aktiviti memancing tetapi dari segi kebenaran membawa penumpang selain daripada kru perlu mendapat kelulusan Jabatan Laut.
"Untuk pengesahan sama ada mendapat kelulusan atau tidak perlu dirujuk kepada Jabatan Laut. Dari segi lesen vesel perikanan tidak ada masalah,” katanya kepada media ketika ditemui Jeti Projek Pemasaran Ikan Kuala Kemasin hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam kelmarin, seramai 12 daripada 20 mangsa terselamat, lima pemancing maut, manakala tiga lagi masih belum ditemui.
Nazri juga berkata, bermula April sehingga Ogos ialah musim untuk mencandat sotong dan menjalankan aktiviti rekreasi di laut sebelum tengkujuh bermula penghujung tahun.
Sementara itu, Nazri berkata, pihaknya mendapati pemilik bot berkenaan juga telah menyediakan jaket keselamatan mengikut bilangan yang ditetapkan berdasarkan syarat lesen.
"Bagaimanapun berdasarkan maklumat kejadian berlaku sekelip mata, cuaca buruk secara tiba-tiba.
"Saya nasihatkan nelayan yang menjalankan aktiviti di laut mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) dan mementingkan keselamatan,” katanya.
Nazri berkata, pihaknya turut menghantar empat anggota jabatan untuk terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih belum ditemui.