SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyarankan kerajaan menjenamakan semula pekerjaan yang dikategorikan sebagai 3D (kotor, bahaya dan sukar) untuk menarik minat warga tempatan menceburi bidang itu.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, bidang 3D termasuk pertanian dan perladangan perlu dilihat sebagai satu kerjaya yang profesional seperti dipraktikkan di negara maju.
Katanya, pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja di sektor perladangan kerana dianggap sebagai berat dan tidak menarik.
"Ramai yang mengatakan gaji pekerjaan di sektor 3D ini rendah tetapi sebenarnya pekerja boleh meraih pendapatan lebih RM2,000 sebulan dengan syarat rajin bekerja,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Harian Siri ke-177 bertajuk Cabaran Malaysia Tanpa Pekerja Asing di sini malam tadi.
Panelis lain ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor; Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Madeline Berma dan Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, majikan di sektor perladangan turut menyediakan rumah secara percuma kepada pekerja selain subsidi elektrik, air dan tanah untuk mereka bercucuk tanam.
Katanya, kemudahan itu sebenarnya mampu menarik golongan muda tempatan menceburi bidang berkenaan tetapi status pekerjaan mungkin tidak dapat diterima oleh masyarakat.
Beliau turut memberi contoh tukang paip di Switzerland dikitiraf sebagai kerjaya profesional dan diberikan sijil kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang itu.
"Bagaimanapun di Malaysia sebaliknya ramai yang boleh melakukannya kerana boleh membeli peralatan di kedai dan mula melakukan perniagaan ini namun dalam aspek kemahiran belum dapat dipastikan,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsuddin turut berpendapat pekerjaan di sektor pembinaan juga perlu dipermodenkan kerana pada masa ini kerja-kerja pembinaan dilakukan di tapak pembinaan yang dilihat agak berat dan berbahaya.
Katanya, kerajaan perlu mengubah konsep pekerjaan di sektor pembinaan dengan mengunakan teknologi pasang siap (IBS) yang dibuat di kilang dan dipasang di tapak pembinaan.
"Saya kira kalau perkara ini berlaku, maka ramai pekerja tempatan kita mahu bekerja di situ.
"Begitu pun untuk kita tidak menggunakan langsung tenaga kerja warga asing pada masa ini sememangnya agak sukar tetapi untuk tempoh jangka panjang saya rasa ini satu perkara yang tidak mustahil dan perlu difikirkan secara bersama,” katanya.
Sementara itu, Shamsuddin mengakui usaha kerajaan menutup pengambilan pekerja asing bermula hari ini sehingga penghujung tahun bakal menjejaskan industri tertentu terutamanya sektor yang bergantung kepada pekerja asing termasuk perladangan.
Katanya, bagi sektor perladangan lebih daripada 70 peratus menggunakan pekerja asing dan jumlahnya melebih 400,000 orang bagi kerja-kerja di ladang kelapa sawit, kelapa dan getah.
"Sektor pertanian juga melibatkan ramai pekerja asing dengan hampir 200,000 orang. Jadi kesannya akan berlaku kekurangan pekerja jika kita tidak ambil pekerja baharu apabila ada yang dihantar pulang," katanya.