PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sesi persekolahan akan kembali dibuka namun dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Julai ini.
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pada sidang media khas hari ini memaklumkan, sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan Peralihan di semua sekolah kerajaan akan bermula pada tarikh berkenaan.
Murid Tahun 5 dan 6 sekolah juga akan kembali ke sekolah pada tarikh sama.
"Tarikh pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun 1 hingga Tahun 4 adalah pada hari Rabu, 22 Julai," katanya.
Menurutnya, pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan 6 Semester 1 tahun ini juga akan mendaftar diri pada 15 Julai ini.
"Untuk makluman, keputusan penawaran kemasukan calon lepasan SPM 2019 ke Tingkatan 6 Semester 1 boleh disemak mulai hari ini melalui portal KPM," katanya.
Selain itu katanya, murid Tahun 5 dan Tahun 6 sekolah rendah juga kembali ke sekolah pada tarikh sama.
"Tarikh pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun 1 hingga Tahun 4 adalah pada hari Rabu, 22 Julai," katanya.
Mohd Radzi berkata, tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
"Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan," katanya.
Jelas beliau, berdasarkan analisis dan perincian yang telah dilaksanakan, KPM telah mengenal pasti tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing.
"Pertama adalah Model Satu Sesi. Model ini ialah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial," katanya.
Menurutnya, Model Dua Sesi adalah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
"Ketiga adalah Model Penggiliran untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.
"Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi," katanya.
Beliau berkata, bagi Model Penggiliran untuk sekolah menengah, pelajar Tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari manakala kehadiran untuk Tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.
"Pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan pelajar. Contohnya, jika sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, pelajar Tingkatan 4 akan turut hadir setiap hari.
"Keutamaan diberi sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan," katanya.
Menurutnya, murid Tahun 1 hingga 6 di sekolah rendah boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau tahap.
"Dalam hal ini, pihak sekolah yang menentukan bentuk penggiliran bersesuaian," katanya.
Tambahnya, model penggiliran tersebut berdasarkan kaedah pembelajaran murid adalah secara hybrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara home based learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah.
"Maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya," katanya.
Takwim persekolahan akan dimuktamadkan
Sementara itu, menyentuh mengenai takwim persekolahan, Mohd Radzi berkata, ia akan dimuktamadkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.
"Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Selama ini takwim persekolahan setiap tahun hampir sama coraknya. Namun tahun ini, keadaannya cukup berbeza," katanya.
Menurutnya, memandangkan peperiksaan SPM tahun 2020 dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021, KPM telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut.
"Ini termasuklah memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan tahun 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan lancar," katanya.
Beliau berkata, dalam membuat keputusan yang kompleks sebegini, KPM perlu merancang dengan teliti.
"Kami mesti melihat secara menyeluruh dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang," katanya.