Tergamak bawa dua anak kecil edar dadah

Iklan
Arjunaidi (tengah) menunjukkan antara dadah jenis ganja yang dirampas dalam serbuan di Puchong, Selangor, Sabtu lalu.

SERDANG - Sepasang suami isteri tergamak membawa dua anak kecilnya ketika melakukan kegiatan pengedaran ditahan dalam operasi di Bandar Puchong Jaya, di sini Sabtu lalu.

Serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kira-kira jam 12.10 tengah malam itu turut memberkas tiga lagi ahli sindiket pengedaran dadah.

Iklan
Iklan

Difahamkan, dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia satu dan tiga tahun berada dalam salah sebuah kenderaan yang dinaiki pasangan warga tempatan dan Indonesia terbabit.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan turut menahan lima suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an dipercayai terlibat dalam sindiket dadah membabitkan tiga lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang warga Indonesia.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 50 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dianggar seberat 49.42 kilogram (kg) bernilai RM88,925.

"Soal siasat kemudian membawa serbuan di sebuah rumah di Bandar 16 Sierra, Puchong kira-kira jam 4.40 pagi.

Iklan

"Sebanyak 98 ketulan mampat jenis ganja dianggar seberat 97.12kg bernilai RM174,864 telah dirampas," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Tambahnya, polis turut menyita dua buah kenderaan jenis Peugeot dan Proton Wira serta wang tunai berjumlah RM20,000.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, sindiket yang aktif melakukan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan mendapatkan bekalan dari negara jiran.

"Kita masih menyiasat modus operandi kegiatan dan rangkaian sindiket. Kelima-lima suspek kini direman lima hari untuk siasatan lanjut. Bagaimanapun, dua kanak-kanak terbabit dibebaskan," katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.