KUALA LUMPUR - Hubungan persahabatan Malaysia-China tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu disantuni dengan nilai kebersamaan yang mampu memberi impak besar untuk kedua-dua negara.
Senator Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, untuk merealisasikan matlamat tersebut, unsur politik juga harus diketepikan dengan melihat hubungan tersebut dalam konteks sejarah, perniagaan, susunan sosial kemasyarakatan.
"Perlu bagi Malaysia dan China mewujudkan persahabatan ini menerusi hasil yang memberi sumbangan besar.
"Jadi saya berpendapat, perlu cari perkara yang bersamaan yang boleh mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia.
"Jangan gunakan politik untuk menghentam atau memecahkan persahabatan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ceramah 'Islam di China: Sejarah dan Perkembangan Semasa' bersempena Seminar Hubungan Persahabatan Malaysia-China di sini hari ini.
Dr Rais berkata, Kementerian Perpaduan juga perlu lebih proaktif dalam memainkan peranannya demi pengukuhan perpaduan tersebut.
"Malaysia-China yang mencantumkan sejarah dengan baik, sosio ekonomi dengan baik dan mengajar generasi baharu supaya intim antara satu sama lain.
"Kementerian Perpaduan tidak boleh diam. Kementerian Perpaduan bukan hanya untuk mendapatkan habuan atau faedah tetapi mesti terjemahkan sejarah dengan fakta-fakta ekonomi serta sosio budaya, mengukuhkan perpaduan tersebut," katanya.
Dalam masa sama, Dr Rais menegaskan, kurangnya kesedaran orang Melayu untuk mempelajari Bahasa Cina perlu diatasi demi memperjuangkan masa depan negara yang lebih baik.
"Mempelajari bahasa Cina itu merupakan satu perkembangan yang akan membawa faedah sejagat kepada orang Melayu dan juga generasi akan datang. Dengan cara itu bahasa kebangsaan akan lebih rancak dalam masa depan.
"Dalam konteks akademik kita perlu melihat kaedah yang digunakan dalam pendidikan di China, bagaimana pelaksanaan dasar undang-undang dijalankan dengan tegas.
"Begitu juga di sini. Kita juga ada cara untuk mengambil apa yang baik dari China. Kita perjuangkan," katanya.
Mengulas mengenai program anjuran Pusat Kebudayaan Han Malaysia itu, Rais berkata, pendekatan yang dibuat harus dipuji dalam usaha mewujudkan persefahaman antara masyarakat pelbagai etnik kedua-dua negara.
"Program ini sempena dengan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China ke 46 dan saya yakin ia mampu memberi gambaran lebih jelas kerana banyak media barat memberi liputan yang berbeza.
"Ceramah yang disampaikan juga amat bermakna kerana para peserta dapat mendengar pengalaman Profesor Datuk Dr Awang Sariyan yang sangat memahami keadaan Islam di China berdasarkan pengalaman peribadi beliau selama beberapa tahun di China," katanya.
Terdahulu, Dr Awang yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Penyandang Kursi Za’ba di Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan ceramah 'Islam di China: Sejarah dan Perkembangan Semasa'.