MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan satu kejohanan antarabangsa pada Mac tahun depan selepas terkesan dengan penundaan dan pembatalan beberapa kejohanan dan temasya sukan ekoran pandemik Covid-19.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kejohanan yang turut mendapat sokongan daripada beberapa negara Asia Tenggara itu, akan melibatkan tujuh jenis sukan berpasukan dan dijadualkan berlangsung di Kuching, Sarawak.
"Selepas Sukan Para ASEAN (APG) 2020 di Manila batal, atlet para hanya ada APG 2021 di Hanoi. Tidak ada kejohanan ataupun temasya sukan lain. Jadi MPM telah yakinkan Mesyuarat Tergempar Lembaga Pengelola (BoG) Persatuan Sukan Para ASEAN (APSF), untuk anjurkan kejohanan ini.
"Kita juga mendapat sokongan daripada negara ASEAN lain. Namun butiran lengkap seperti nama kejohanan, negara peserta dan jenis sukan serta acara yang dipertandingkan, hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MPM, hari ini.
Megat D Shahriman turut menegaskan penganjuran kejohanan itu juga adalah sebagai persediaan, sebelum kontinjen negara memulakan aksi di Sukan Paralimpik di Tokyo, Ogos tahun depan.
Beliau berkata, selain memberi pendedahan kepada atlet para negara, kejohanan itu dalam masa sama turut membantu atlet para dari serata ASEAN.
"Bukan Malaysia sahaja yang terkesan dengan ketiadaan kejohanan, namun atlet para negara juga sama. Kita jemput mereka datang untuk pastikan, atlet para negara turut mendapat kelebihan bersaing dengan pencabar yang setaraf dengan mereka.
"Kejohanan ini juga menjadi penanda aras pencapaian atlet para negara sebelum mereka bertanding di Sukan SEA Hanoi dan Tokyo 2020 nanti,” katanya.
Megat D Shahriman berkata, pihak MPM akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak dalam masa dua minggu lagi, bagi perbincangan lanjut mengenai penganjuran kejohanan itu. - Bernama