GEORGETOWN - DAP Pulau Pinang berkongsi lima fakta berhubung projek terowong dasar laut yang telah dicanang oleh parti lawan sebagai 'senjata' politik terhadap pemimpin kerajaan negeri.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, parti itu menegaskan projek terowong bawah dasar laut ini telah dilaksanakan sepenuhnya melalui tender terbuka selaras dengan dasar Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang diamalkan Kerajaan PH Pulau Pinang.
Menurut kenyataan itu, proses tender terbuka juga disyor oleh Transparency International Malaysia (TI-M) sebagai langkah berkesan mencegah rasuah.
"Fakta kedua, projek ini telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2017 dan sehingga kini tiada sebarang salahlaku didapati berlaku.
"Malah selepas siasatan lanjut, pada November 2018, SPRM telah mengeluarkan surat kepada syarikat yang didakwa terlibat dalam salahlaku projek terowong, iaitu Construction Zenith Construction (CZC) menyatakan bahawa siasatan telah selesai dan tiada sebarang pertuduhan dibuat," katanya.
Bagi fakta ketiga, kenyataan itu berkata, projek terowong dasar laut merupakan projek pembangunan untuk memajukan Pulau Pinang, khususnya di daerah Seberang Perai Utara.
"Dengan projek ini, Seberang Perai Utara akan dihubungkan dengan kawasan Pulau seperti daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan," katanya.
Sementara itu, bagi fakta keempat, kenyataan itu memaklumkan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin telah membuat fitnah berdasarkan dokumen palsu tentang projek tersebut pada Mac 2019.
"Ekoran dari perbuatan itu, SPRM telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra dan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut menyaman penulis blog berkenaan," katanya.
Katanya, bagi fakta kelima, pada 28 Februari lalu, Guan Eng telah menang saman fitnah di Mahkamah Tinggi terhadap Raja Petra dalam isu yang sama dan tertuduh tidak hadir di mahkamah bagi menghadapi kes berkenaan.