PERMATANG PAUH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh menyambut baik keputusan yang diambil oleh kerajaan berkenaan ketidaksudian Kerajaan Malaysia dalam meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).
Ketua AMK Permatang Pauh, Fahmi Zainol berkata, pihaknya yakin masa yang diambil oleh kerajaan dalam mendengar serta mengkaji isu ini sangat bertepatan.
"Keputusan ini menepati keadaan di Malaysia dan juga sosial kontrak yang selama ini telah dipersetujui oleh rakyat Malaysia sejak sekian lama.
"Kita mengharapkan pada masa-masa akan datang, kerajaan perlu sensitif berkenaan isu yang melibatkan sensitiviti agama dan bangsa dalam negara ini," katanya.
Tegasnya, sebarang kenyataan yang dilihat tidak cermat perlu dielakkan.
"Sebarang kenyataan yang tidak cermat sepatutnya tidak perlu timbul khususnya dari pihak kerajaan.
"Hal ini bakal menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat, dan dengan langkah ini, saya mengucapkan terima kasih sekali lagi buat kepada kerajaan atas kenyataan ini kerana memahami aspirasi rakyat Muslim terbanyak negara ini," katanya.
Terdahulu, kerajaan dalam satu kenyataan baru-baru ini mengesahkan tidak meratifikasi ICERD.
Pejabat Perdana Menteri sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum sewaktu pembentukan negara ini.