APA muslihat sebenar di sebalik kulit buku yang dikatakan menghina Jata Negara, tidak siapa tahu.
Namun setakat semalam, berpuluh laporan polis telah dibuat oleh parti politik dan individu, meminta siasatan lanjut dilakukan terhadap perbuatan yang dianggap memperlekeh lambang negara.
Ada juga sesetengah pihak berpendapat isu kulit buku itu tidak perlu dikontroversikan, tidak memerlukan siasatan terperinci kerana tidak melanggar undang-undang.
Untuk berlaku adil, rekaletak @ artwork asal Jata yang diubah suai itu dijadikan sebahagian bahan seni yang dipamerkan beberapa tahun lalu.
Sebenarnya kulit buku itu tentu tidak mengundang kontroversi, malah patut dipuji sekiranya menggunakan Jata Negara asal.
Apa yang menimbulkan ketidakselesaan ialah lambang rasmi negara itu diubah dengan memasukkan kepala manusia.
Nampak sangat ada pihak tidak prihatin dan tidak sensitif terhadap lambang negara, seolah-olah sengaja mempersenda kedaulatan pertiwi.
Benarlah hasil seni itu telah dipamerkan kepada umum beberapa tahun lalu, tidak ada masalah. Tetapi mengapa perlu dipampangkan pada kulit buku?
Atas alasan apa jata asal diubah dan dijadikan hiasan kulit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia itu?
Memang, kita tidak sepatutnya menilai sesebuah buku hanya daripada judul dan hiasan kulitnya tetapi orang terdorong mengesyaki sesuatu menerusi kulit luar, sebelum mengetahui isi di dalam.
Mohon maaf
Seperti yang dilaporkan Malaysiakini, penerbit buku berkenaan telah memohon maaf berhubung kulit buku mirip Jata Negara.
Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin berkata, pihaknya tiada niat untuk menghina lambang negara.
"Kami memang tak sengaja mahu hina atau apa-apa. Kedua, walaupun kami tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, menyinggung perasaan mereka, saya minta maaf,” katanya.
Seperti dimaklumkan sekumpulan pemuda daripada MIC, MCA, UMNO dan Pas membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut.
Orang politik mungkin melihat itu sebagai isu yang boleh dijadikan songlap publisiti, lebih-lebih lagi mengenai PRU15.
Perkara berkait dengan semangat dan kedaulatan negara mudah sahaja dijadikan modal politik untuk meraih penyokong.
Kalau tidak kerana politik pun pada hemat saya, mana-mana pihak patut lebih sensitif pada perkara-perkara seumpama itu.
Tambahan pula akhir-akhir ini semakin kerap hal melibatkan maruah negara macam tidak diendahkan, malah dipersenda.
Ada bendera negara – Jalur Gemilang – dipasang terbalik. Apakah tidak mungkin disengajakan?
Ada yang berani mempersenda lagu kebangsaan Negaraku menjadi ‘Negarakuku’ dengan rentak rap yang menghina.
Apakah yang mempersenda lagu kebangsaan itu sedar – dan insaf – atas perbuatannya yang tidak menghormati lagu Negaraku itu?
Tidak lama dahulu ada yang celupar sengaja menghina Islam dengan menularkan di media sosial bah kut teh (sup babi) sebagai juadah berbuka puasa.
Sampai kini, kita tidak tahu ke mana menghilangnya pelesit sup babi yang memperlekeh agama itu!
Kemudian ada pula tidak sensitif dengan melemparkan tuduhan anggota tentera kita tidak ada kerja hanya ‘makan tidur’.
Tentu sekali ia tidak boleh dibiarkan sehingga menjadi kebiasaan. Ada sesetengah perkara yang kita terpaksa bertegas.
Anak-anak kita kena dibiasakan menghormati warisan. Usaha membentuk negara bangsa tentu tidak mudah sekiranya semua orang bebas mempersenda dan memperlekeh.
Memanglah penerbit buku itu tidak berniat menghina, tiada sebarang muslihat di sebalik penggunaan Jata Negara yang diubah suai.
Samalah juga orang boleh kata tidak sengaja, tiada hasrat menghina apabila memasang Jalur Gemilang terbalik. Hatta orang boleh sahaja meminta maaf apabila terlepas kata menuduh seseorang itu tidak kerja hanya ‘makan tidur’.
Tetapi kalau tidak ada niat kenapa mulut celupar sangat?
* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian