Semua pihak perlu berlapang dada isu Luqman

Iklan
Kisah Luqman mendapat liputan meluas media termasuk Sinar Harian.

SEMUA pihak diharapkan dapat berlapang dada berhubung isu pemain muda Selangor, Luqman Hakim Shamsudin yang dilaporkan telah menyatakan persetujuan menerima tawaran kontrak lima tahun untuk beraksi dengan kelab Liga Belgium, KV Kortrijk.

Bekas pengurus Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman berkata, tawaran yang diberikan kepada Luqman itu secara keseluruhannya menggambarkan bahawa kelab berkenaan telah melihat pemain berusia 18 tahun itu sebagai seorang pemain yang berpotensi untuk beraksi di luar negara.

Iklan
Iklan

Justeru menurut Mohamad Satim, perkara itu secara keseluruhannya memberikan gambaran bahawa prestasi anak muda berasal dari Kelantan itu berjaya menarik minat kelab berkenaan.

"Bagi saya, kita ni kena fikir bukan sahaja bagi peringkat negeri, tetapi juga hingga ke peringkat negara. Kita juga mesti sentiasa berlapang dada khususnya dalam hal-hal seperti ini.

Iklan
Luqman menjalani latihan bersama skuad Selangor 2 baru-baru ini. - Foto FA Selangor

"Dalam isu Luqman Hakim ini, kalau betul dia dikatakan sebagai pemain yang berpotensi untuk bermain di luar negara, sudah tentu dia bukan calang-calang pemain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tambah Mohamad Satim, kebanyakan pemain di negara ini sebenarnya kurang diberikan motivasi khususnya daripada kelab atau pasukan masing-masing apabila timbul isu yang membabitkan perpindahan ataupun tawaran kepada pemain untuk beraksi di luar negara.

Iklan

Katanya, motivasi berkenaan boleh diberikan dengan merelakan pemergian pemain tetapi bersyarat antaranya seperti pemain berkenaan perlu balik ke pangkuan pasukan lamanya setelah kontraknya berakhir kelak.

"Kita perlu berikan sedikit motivasi seperti ini, kerana pemain-pemain ini boleh menjadi aset kepada kelab, negeri dan juga negara suatu hari nanti. Tambahan pula zaman sekarang menyaksikan bola sepak telah menjadi satu kerjaya.

"Jika di luar negara, hal-hal seperti ini sudah dikira memenuhi standard atau piawaian antarabangsa dalam dunia bola sepak profesional. Tetapi malangnya, pemain kita kekurangan motivasi untuk itu,” katanya.