Shafie di tengah-tengah ketegangan Anwar-Tun M

Iklan
Spekulasi terbaharu nama Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) dipilih sebagai calon Perdana Menteri baharu bagi blok PH Plus dinafikan PKR.

DALAM politik tiada yang kekal kawan dan tiada yang kekal musuh selamanya. Untuk sekian lama, politik Malaysia didominasi parti tunjang Barisan Nasional (BN) yang memayungi sebegitu banyak parti komponen.

Namun, tahun 2018 landskap politik Malaysia dilanda tsunami dengan kekalahan BN.

Iklan
Iklan

Kini Malaysia sedang memasuki era baharu politik yang akhirnya memaparkan wajah-wajah sebenar pemimpin politik Malaysia.

Sama ada politik itu adalah satu perjuangan agama, bangsa dan negara atau politik sebenarnya adalah berkenaan pengagihan kuasa dan kekayaan, semua itu terletak di tangan ahli politik sendiri.

Iklan

Yang pasti, gelora politik Malaysia hari ini tidak menunjukkan akan ada surutnya.

Bagaikan papan catur, walaupun Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan arkitek Langkah Sheraton berjaya membuat checkmate, namun hari ini percaturan politik baharu kembali rancak disusun.

Iklan

Dengan Perikatan Nasional sendiri sedang bergelut untuk meraih lebih banyak sokongan ahli Parlimen bagi mendepani usul tidak percaya yang dijangka dibawakan blok Pakatan Harapan (PH) pada 13 Julai ini, hakikatnya kem PH juga sedang teruk berantakan.

Walaupun pahit untuk diterima, hakikatnya PH kini sedang terperangkap dengan permainan isu calon Perdana Menteri (PM) yang pada hakikatnya tidak pasti pun berjaya atau tidak pada 13 Julai ini.

Papan catur dalam PH kini sedang ligat berjalan, baik di kem Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Masing-masing sedang mengatur buah catur untuk memerangkap catur raja.

Namun, kemunculan nama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dicelah-celah kemelut calon PM PH Plus mengejutkan ramai.

Walaupun pernah bergelar pemimpin peringkat nasional dan menjadi Menteri beberapa tahun lalu, namun ‘padang’ Shafie sejak dua tahun lepas sudah pun berubah.

Keikhlasan

"Sebagai orang Sabah, sudah tentunya saya mengimpikan seorang pemimpin dari negeri ini untuk menjadi Perdana Menteri.

"Namun bila difikirkan rasionalnya, kita kena sedar ia agak sukar untuk direalisasikan. Ini kerana hakikatnya sistem pemerintahan kita ini adalah kolektif dan satu negara,” kongsi penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah, Dr Romzi Ationg bagi menggambarkan perjalanan sukar Shafie.

Dr Romzi

Mengulas lanjut Romzi berkata, cadangan mengejutkan Dr Mahathir itu sebenarnya perlu dilihat dari pelbagai aspek.

Antaranya termasuklah kesediaan Shafie, sokongan pemimpin seluruh negara, kekuatan parti Warisan, hubungan dalam PH dan paling penting keikhlasan cadangan tersebut.

"Bagi saya, antara persoalan penting yang perlu dijawab, adakah cadangan ini ikhlas dan adakah ia mendapat sokongan penuh pemimpin baik di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

"Saya bimbang jika cadangan ini hanya sekadar untuk menggunakan Shafie untuk menafikan hak Anwar yang sebelum ini dijanjikan sebagai Perdana Menteri.

"Apatah lagi semua orang tahu, Anwar sudah sekian lama menantikan posisi Perdana Menteri. Cadangan ini sememangnya meletakkan Shafie di tengah-tengah dalam ketegangan hubungan Anwar dan Dr Mahathir.

"Namun, yang menambahkan curiga dalam cadangan ini, dengan jumlah ahli Parlimen Warisan Sabah yang cuma sembilan orang dan kedudukan Warisan sebagai sebuah parti negeri, adakah orang Semenanjung dan Sarawak boleh menerima calon Perdana Menteri daripada Warisan. Ini adalah perkara paling asas,” katanya lagi.

Gambar dari kiri: Anwar, Mahathir

Namun mengamati corak kepimpinan Shafie, Romzi mengakui Shafie dengan pengalaman lama dalam politik nasional dan negeri Sabah, beliau pasti akan berhati-hati dengan tindakannya.

"Dari segi kemampuan dan kredibiliti memang Shafie boleh muncul sebagai pemimpin nasional sekali lagi, tetapi saya secara peribadi melihat Shafie sorang pemimpin yang baik dan berhati-hati. Keputuasan yang diambil nanti amat penting kerana dikhuatiri boleh membunuh karier politiknya,” ungkap Romzi yang berpendapat pada masa ini adalah lebih baik ahli Parlimen Semporna itu memberi fokus di negeri Sabah.

Dalam pada itu, bagi orang lama politik yang juga Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman, hakikatnya calon Perdana Menteri boleh datang dari mana-mana negeri, namun tindakan Dr Mahathir menamakan Shafie sebagai calon PM PH Plus kelihatan agak terdesak.

Politik kendur

"Dr Mahathir sedang mengatur calon dari kaca matanya dan kelihatan Shafie seperti mempunyai kelebihan untuk mendapatkan sokongan dari Sabah. Namun saya melihat beliau seolah-olah ketandusan calon.

"Shafie seperti diketahui lebih terkenal di peringkat lokal. Namun, kalau ikutkan kedudukan Presiden Warisan itu sendiri sedikit goyang dengan kembalinya Tan Sri Musa Aman yang bebas daripada tuduhan mahkamah,” katanya sambil memberi contoh tindakan 1,000 ahli Warisan keluar parti itu kelmarin.

Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata, formula kombo meletak Shafie sebagai Perdana Menteri manakala Anwar serta Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri juga menunjukkan percaturan politik Dr Mahathir semakin ketinggalan.

"Situasi politik hari ini menyaksikan Dr Mahathir seperti terperangkap dengan tindakannya sendiri setelah melepaskan jawatan sebelum ini. Apatah lagi sokongan akar umbi politiknya juga semakin lemah tanpa mendapat sokongan Bersatu.

"Bagi saya politik Dr Mahathir sudah semakin kendur dan kian merosot.

Abdul Aziz

"Kita juga tidak boleh memperkecilkan Anwar kerana beliau juga bukan kecil-kecil budak. Selepas sekian lama dimomokkan dengan penantian menjadi Perdana Menteri sudah tentu Anwar tidak akan bersetuju dengan kombinasi trio beliau sebagai TPM,” katanya.

Dilema calon PM PH Plus nampaknya sukar bertemu titik noktahnya.

DAP dan Amanah walaupun memihak kepada Dr Mahathir, namun Anwar semalam mengemas kini laman Instagramnya bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dengan catatan, ‘setiakawan tidak boleh dijual beli’.

Persoalannya sampai bila PH masih perlu terperangkap dalam isu calon PM yang telah menggugat ikatan setiakawan mereka?