SHAH ALAM - Pas menzahirkan kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas turut memberikan dukungan kepada kepimpinan Muhyiddin dan permuafakatan politik Perikatan Nasional (PN) demi mensejahterakan negara dan rakyat.
Iklan
Iklan
"Pada masa yang sama, Pas menzahirkan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini yang turut memuat naik sekeping foto bersama Muhyiddin serta pemimpin utama parti PN.
Petang semalam, pemimpin utama parti-parti dalam PN mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Presiden parti yang hadir terdiri daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (MCA), Tan Sri S Vigneswaran (MIC) dan Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Abang Openg (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu).
Turut serta, Profesor Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), Datuk Seri Tiong King Sing (Parti Demokratik Progresif), Tan Sri Amar James Jemut Masing (Parti Rakyat Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Parti Bersatu Sabah), Tan Sri Panglima Joseph Kurup (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Parti Solidariti Tanah Airku).