KUALA LUMPUR - McDonald's Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Mod Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kepada pelajar lepasan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) yang berminat dalam bidang perkhidmatan makanan.
Melalui jalinan kerjasama strategik tersebut, pelajar kolej vokasional yang menyertai program anjuran McDonald’s Malaysia itu akan dianugerahkan SKM Tahap Tiga oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia setelah tamat mengikuti program.
Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, kerjasama dengan McDonald’s Malaysia merupakan inisiatif positif ke arah menyediakan akses kepada pendidikan alternatif untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang lebih luas kepada pelajar berusia 15 tahun ke atas apatah lagi dalam era pasca koronavirus (Covid-19), kerjasama institusi pendidikan dan pihak industri perlu dipergiat bagi membangunkan modal insan secara holistik dan berkemampuan menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta negara keseluruhannya.
"KPM melalui Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) akan terus memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi mendukung hasrat kerajaan dalam memacu pembangunan tenaga mahir tempatan ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat berbilang bangsa.
"Inisiatif ini juga dilihat dapat memperkasa TVET melalui program SLDN sedia ada yang ditawarkan di 15 kolej vokasional merangkumi 26 bidang,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) McDonald's Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihaknya gembira KPM melalui BPLTV memberi kepercayaan dan pengiktirafan kepada Akademi Vokasional McDonald’s untuk menawarkan program pembelajaran berbentuk kemahiran kepada pelajar kolej vokasional.
"Melalui program disediakan ini, ia mampu memberi lebih banyak peluang kepada belia untuk memenuhi potensi diri mereka, mempelajari kemahiran baharu dan membina kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan.
"Dengan standard dan kualiti perkhidmatan bertaraf antarabangsa terbaik yang kami miliki, ini merupakan kelebihan dan kelainan yang ingin kami ketengahkan kepada belia,” katanya
Azmir berkata, buat masa ini, Kolej Vokasional ERT Setapak merupakan satu-satunya kolej vokasional yang menawarkan program SLDN McDonald’s.
Menurutnya, program itu akan ditawarkan secara berperingkat di kolej vokasional terpilih lain di seluruh negara.
"Pelajar kolej vokasional yang mengikuti program tersebut bakal ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia termasuk diberi elaun bulanan sebanyak RM1,200, tempat tinggal, faedah perubatan dan insurans serta makanan percuma.
"Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan RM30,000 untuk seorang pelajar.
"Setelah tamat program, dengan SKM Tahap Tiga yang diperoleh, mereka layak mengembangkan lagi kerjaya mereka di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini atau menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.