51 Geng Otong seludup migran didakwa

Iklan
Sebahagian daripada 51 tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini kerana terlibat kumpulan jenayah terancang yang mendalangi sindiket penyeludupan migran.

KOTA TINGGI - Seramai 51 ahli Geng Otong dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yang mendalangi sindiket penyeludupan migran antara 2015 hingga tahun ini.

Kesemua tertuduh yang berusia 21 hingga 59 tahun itu melibatkan 19 lelaki dan dua wanita tempatan, tiga pemastautin tetap, 25 warganegara Indonesia termasuk seorang wanita selain dua lelaki Myanmar.

Iklan
Iklan

Mereka adalah anggota sindiket penyeludupan manusia membabitkan tekong darat, ejen, penjaga rumah penampungan dan pihak yang menguruskan pengangkutan atau transporter.

Kesemua mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.

Iklan

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) manakala kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesemua 51 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Otong di Kota Tinggi antara Januari 2015 hingga Jun lalu.

Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130 V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Putrajaya diketuai Idham Abd Ghani bersama-sama Rohaiza Abd Rahman dan Izzat Fauzan.

Peguam Hassan Zaid dan Muzamil Hariri selain Datin S Freda dan Mohd Zubairi Salleh pula mewakili empat tertuduh.

Mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh dan hakim kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula pada 27 Ogos ini.

Terdahulu, kesemua 51 tertuduh dibawa menaiki empat trak dan sebuah van seawal jam 8.30 pagi ke Mahkamah Kota Tinggi.

Mereka dikawal ketat oleh puluhan anggota polis bersenjata di setiap tingkat bangunan mahkamah bagi membuat kawalan prosiding selama satu jam itu, selain ahli keluarga dan orang ramai tidak dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut berada di pekarangan mahkamah bagi memantau proses pendakwaan itu.

Pada 4 Jun lalu, polis Johor menangkap 40 suspek utama yang menjadi dalang penyeludupan migran sekitar pantai timur Johor melibatkan ejen yang mengurus keluar masuk migran, menguruskan pengangkutan, tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan.

Susulan itu, 23 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ditahan dari 13 hingga 18 Jun lalu disusuli serbuan pada 23 dan 25 Jun lalu kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran dan dadah.