BACHOK - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat selaman kali ketiga di bot terbalik yang ditempatkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besar di sini susulan laporan bau busuk.
Pengarahnya, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, sebelum ini anak pemilik bot tersebut telah mengeluarkan air di dalam bot berkenaan dan tidak menemui sebarang petanda penemuan mangsa.
"Selaman selama 34 minit itu tidak menemukan sebarang petunjuk. Bagaimanapun operasi menggeledah bot tersebut akan dilakukan dari masa ke masa," katanya kepada pemberita di Jeti Pemasaran Ikan, Kemasin di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, mengulas mengenai operasi di lautan, Muhd Nur Syam berkata, pihaknya tetap menjalankan operasi walaupun berdepan keadaan cuaca yang buruk semalam.
Operasi secara dasarnya tamat jam 6 petang namun katanya, pihaknya dan beberapa agensi lain tetap bertugas di lautan dan sebuah bot yang terlibat dalam operasi hampir karam semalam.
"Ini antara cabaran kami lalui tapi kami cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik. Kami faham emosi keluarga tambahan pula hari ini sudah masuk hari keempat.
"Kami bawakan juga dua pegawai untuk membantu menenteramkan emosi mereka dan saya sendiri juga turut meluangkan masa bertanya khabar keluarga mangsa yang masih tidak jemu menunggu di jeti.
"Saya juga berterima kasih kepada semua agensi yang bekerjasama seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Marin dan nelayan tempatan yang banyak membantu kami di darat dan lautan," katanya.
Beliau juga tidak menafikan kepakaran nelayan membantu APMM mengendalikan operasi tersebut dan keluasan kawasan pencarian juga ditambah mengikut sektor yang difikirkan logik.