KPKT kaji syarat ambilan anggota bomba wanita

Iklan
Zuraida (kanan) beramah mesra dengan tetamu pada majlis perasmian Pejabat Penggerak Dasar Komuniti Negara Parlimen Hang Tuah Jaya, Bachang hari ini.


MELAKA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji semula syarat pengambilan anggota bomba wanita dalam usaha meningkatkan jumlahnya hingga 30 peratus daripada keseluruhan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata kajian itu termasuk melonggarkan syarat pengambilan melibatkan ujian fizikal dan menempatkan mereka di bahagian pentadbiran selain melakukan kerja yang tidak berbahaya.

Iklan
Iklan

"Kita lihat keanggotaan bomba wanita sangat berkurangan iaitu sekitar lima peratus atau 700 orang daripada jumlah keseluruhan anggota bomba di seluruh negara iaitu sebanyak 14,400 orang.

"Setiap tahun sememangnya kita membuat pengambilan anggota bomba wanita namun kali ini kita akan memberi fokus kepada pengambilan anggota bomba wanita dan mungkin dengan cara ini kita dapat menarik lebih ramai golongan tersebut untuk menyertai bomba," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) Parlimen Hang Tuah Jaya di sini hari ini.

Zuraida berkata, peranan anggota bomba wanita adalah penting khususnya dalam mendekati mangsa wanita untuk tujuan kaunseling kepada mereka yang mengalami trauma akibat sesuatu insiden.

Iklan

Katanya, selain itu, anggota wanita juga akan diberi tanggungjawab terhadap program kesedaran mencegah kebakaran melibatkan golongan sasar suri rumah atau mereka yang bekerja di dapur.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah anggota bomba wanita di Melaka antara yang tertinggi di negara ini iaitu hampir 10 peratus daripada 537 anggota bomba di negeri itu.- Bernama