MAT Rempit ialah satu istilah yang ditujukan kepada penunggang motosikal yang gemar memaparkan pelbagai gaya aksi percuma konon kepada ‘peminat’ tersendiri tanpa menghiraukan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.
Demi mendapatkan kepuasan diri selain mencari publisiti murahan, mereka sanggup melakukan lagak seorang hero seperti Superman yang sedang beraksi di atas jalan raya.
Teruja mendengar jeritan dan sokongan hebat daripada penonton, ada yang sanggup memilih aksi lebih hebat dengan menunggang laju sambil mengangkat tayar di bahagian depan yang dipanggil 'wheelie' dan menunggang sambil mengangkat tayar di belakang iaitu aksi yang disebut wikang dalam kalangan mereka.
Menyedihkan, gejala merempit dilihat semakin menjadi-jadi terutama dalam kalangan remaja termasuk pelajar sekolah dan sikap kumpulan itu semakin mengganas membuatkan panggilan mat rempit tidak lagi digunakan sebaliknya ditukar kepada samseng jalanan.
Jika di Terengganu, samseng jalanan ‘berpesta’ di jalan raya termasuk di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) pada hampir setiap hari dan semakin meriah pada malam hujung minggu (Jumaat dan Sabtu) serta pada hari cuti umum..
Kumpulan itu dilihat terlalu biadab dengan langsung tidak mengendahkan persekitaran dan pengguna jalan raya yang lain, malah boleh dikatakan hampir sepanjang jalan di lokasi tumpuan ‘ditawan’ mereka.
Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkali-kali memberi amaran tegas supaya samseng jalanan jangan terlalu taksub dan seronok beraksi seperti itu.
Hukuman berat boleh dikenakan termasuk meringkuk di penjara sekali gus menjejaskan masa depan terutama pesalah juvana dan pesalah muda.
Beliau juga berkata, samseng jalanan harus beringat bahawa pergerakan mereka sentiasa diperhatikan malah pihaknya tidak akan berkompromi dengan kumpulan itu sekiranya mereka ditangkap melakukan aksi termasuk para pelajar.
Ingatan dan kata-kata amaran dikeluarkan pihak berkuasa terbukti apabila seramai 62 samseng jalanan berusia antara 16 hingga 32 tahun berjaya ditangkap bermula Mac hingga 23 Jun lalu di Terengganu hasil penguatkuasaan dan pemantauan yang dilakukan terutama di lokasi tumpuan kumpulan itu.
Abd Razak berkata, kini pihaknya akan terus menangkap samseng jalanan yang ditahan dan mereka akan dibawa terus ke balai polis dan mungkin ada yang akan merasa pengalaman tidur di lokap balai sementara menunggu perintah reman dikeluarkan mahkamah untuk tindakan selanjutnya.
"Bagi kesalahan ini, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya namun terpulang kepada budi bicara pihak mahkamah selain melihat kategori pesalah berkenaan, malah bagi kesalahan kedua pula mereka yang didakwa dan didapati bersalah boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun,” katanya.
Undang-undang yang dikuatkuasakan membuktikan gejala itu dipandang serius apabila hukuman diberikan kepada pesalah berkenaan amat berat dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Sebagai contoh, penulis sendiri ada melaporkan dalam penulisan berita mahkamah bertarikh 29 Jun 2020, Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu menjatuhkan hukuman tujuh hari penjara dan denda RM5,000 kepada dua samseng jalanan.
Diharap dengan laporan hukuman sebegini, ia dapat memberi ingatan dan pengajaran kepada samseng jalanan itu. Jangan disebabkan untuk meraih perhatian hanya dalam tempoh tidak sampai lima minit dengan aksi yang digayakan, masa depan mereka menjadi korban.
Pihak berkuasa terpaksa berbuat demikian bagi membuktikan kepada samseng jalanan bahawa perbuatan mereka yang terlalu pentingkan diri sendiri sangat dibenci.
Pada masa sama, penulis turut terkesan dengan kata-kata Abd Razak semasa ditemubual di pejabatnya,"Tindakan tegas sebenarnya merupakan pilihan terbaik jika hendak dibandingkan pihak kami menghubungi keluarga untuk menuntut jenazah anak mereka di bilik mayat.”
* Rubiah Omar ialah wartawan Sinar Harian Edisi Terengganu