Lupa beli ikan, tidak bawa berjalan jadi punca cerai

Iklan
Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU - Terlupa membeli ikan selayang dan isteri yang tidak dibawa berjalan-jalan antara masalah kecil yang menjadi faktor penceraian di Terengganu.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, jahil tentang tujuan sebenar perkahwinan juga penyumbang 1,219 kes penceraian membabitkan pasangan Islam di negeri ini.

"Punca perceraian terlalu banyak, ada yang disebabkan masalah besar seperti jahil tentang tujuan sebenar perkahwinan dan ada juga berpunca daripada masalah kecil seperti bergaduh sebab tak beli ikan selayang.

"Di samping itu, terdapat juga penceraian yang berpunca daripada perasaan amarah, cepat gopoh dan pelbagai masalah lain seperti campur tangan pihak keluarga,” katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan yang dikemukakan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) dalam Sidang Dun di sini, hari ini.

Menurutnya, antara Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,219 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan berbanding 1,383 pasangan dalam tempoh sama tahun lalu.

"Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan terdapat 17 kes perceraian didaftarkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu dengan 16 daripadanya membabitkan kaum Cina manakala satu kes melibatkan kaum India.

"Saya akan minta agensi kerajaan menilai punca-punca itu. Kalau boleh kita dekati sesiapa yang ada masalah untuk diberi kaunseling dengan lebih teliti termasuk membuat susulan sampai ke rumah melalui Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS),” katanya.

Mohd Nor berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), I-MITS dan pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) giat menggerakkan forum, seminar dan kursus di samping menilai keberkesanan program lalu dan memperbaharui modul untuk menangani masalah penceraian di negeri ini.