SELAMA - Penantian seorang lelaki yang tinggal dalam sebuah pondok usang Kampung Tanjung Lengkong, Bukit Bertam sejak 13 tahun lalu untuk mendapatkan kad pengenalan berakhir selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyerahkan kad baharu kepadanya semalam.
Che Hat Jusoh, 55, yang ditemui selepas menerima kad pengenalan baharu itu bersyukur kerana setelah 20 tahun tidak mempunyai pengenalan diri akhirnya dapat menikmati semula kemudahan tersebut berikutan kadnya hilang ketika rumahnya dilanda banjir.
Tidak mampu digambarkan keterujaan tersebut apabila beliau turut merasakan hidupnya kini bebas selepas memiliki dokumen pengenalan diri itu selain berharap ia menjadi titik permulaan ke arah kehidupan lebih baik.
"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dapat kad pengenalan baharu ini. Ingatkan dah tak boleh dapat semula kad pengenalan ini sebab 20 tahun hilang masa banjir.
"Kehidupan saya juga sekarang lebih baik selepas pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin membantu saya mendapatkan rumah sewa yang lebih selesa," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kad pengenalan baharu di Pejabat JPN Selama di sini semalam.
Menurutnya, dengan adanya kad pengenalan tersebut, pelbagai urusan dapat dibuat dengan mudah termasuk memohon bantuan daripada agensi berkaitan.
Sementara itu, Pengarah JPN Perak, Raja Azlal Raja Azman yang menyempurnakan majlis penyerahan kad pengenalan itu berkata, masalah kehilangan kad pengenalan Che Hat mendapat perhatian JPN selepas kisahnya disiarkan Sinar Harian sebelum ini.
Katanya, pada 18 Jun lalu, Che Hat telah hadir ke pejabat JPN Selama bagi mengemukakan permohonan gantian kad pengenalan selepas berdepan kesukaran memohon bantuan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
"Masalah seperti kehilangan MyKad akibat bencana, jenayah atau kecuaian hendaklah disegerakan permohonan gantian selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
"Tindakan itu penting bagi mengelak pelbagai masalah timbul seperti mendapatkan kemudahan kesihatan, pendidikan, kemudahan asas, sosial dan infrastruktur termasuk penyampaian subsidi serta bantuan kebajikan," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan kisah Che Hat yang tinggal berseorangan dalam sebuah pondok usang sejak 13 tahun lalu tanpa bekalan elektrik dan air dengan bertemankan lampu minyak tanah serta tikar sebagai alas tidur.
Keadaan serba kekurangan itu mendapat perhatian Mohd Akmal yang menawarkan bantuan sewa rumah berhampiran kampung itu menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).