Kilang, tiga premis perniagaan warga asing disita MPKL

Iklan
Kilang ubah suai mesin tekstil yang disita MPKL semalam.

KUALA LANGAT - Sebuah kilang ubah suai mesin tekstil dan tiga buah kedai dikendalikan warga asing di Bukit Changgang dan Labohan Dagang, di sini disita Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam dua operasi berlainan semalam.

Yang Dipertua MPKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, hasil pemeriksaan dalam operasi bersepadu dilakukan bersama pihak polis, pemilik kilang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta 133, Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 serta beroperasi tanpa lesen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, notis kesalahan dikeluarkan di bawah UUK Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007 dan tindakan sita dilaksanakan di pintu masuk premis berkenaan.

"Pemilik turut diberi arahan lisan supaya tidak melanggar atau cuba memotong tali sitaan berkenaan. Jika gagal patuhi arahan, pemilik boleh dikenakan tindakan mahkamah.

Iklan

"Tindakan dikenakan sebagai pengajaran kepada semua pemilik kilang di daerah ini agar sentiasa mematuhi peraturan sedia ada dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Pembukaan atau pengubahsuaian kilang perlu mendapat kebenaran bertulis dari MPKL," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Barangan yang dirampas MPKL selepas menyita tiga premis dikendalikan warga asing.

Dalam pada itu, Mohamad Zain berkata, MPKL turut menyita tiga premis perniagaan dikendalikan warga asing dan menyita pelbagai barangan.

Iklan

Menurutnya, MPKL tidak pernah memberi atau mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana warga asing di daerah Kuala Langat.

"MPKL akan mempergiatkan operasi seperti ini bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mempunyai lesen yang sah untuk beroperasi di daerah Kuala Langat.

"Pada waktu pasca koronavirus (Covid-19) ini, MPKL akan terus menggempur peniaga warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen," katanya.