IPOH - Hasrat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) untuk meletakkan calon di 15 kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang hanya akan memecah undi parti-parti lain yang bertanding.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim berkata, secara dasarnya Amanah tidak ada masalah dengan hasrat Putra untuk bertanding di Perak.
Menurutnya, hasrat Putra itu bukan sesuatu yang membimbangkan kerana bagi kerusi Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Amanah, persiapan awal sudah dibuat untuk berdepan PRU yang diramal berlaku pada bila-bila masa.
"Jentera kita sudah sedia untuk hadapi apa sahaja kemungkinan PRU mengejut. Jadi untuk undi teras kepada PH, kita yakin boleh dikekalkan dan berusaha untuk pertambahan sokongan dengan strategi-strategi yang telah kita susun.
"Putra parti baharu, jentera akar umbi masih belum teruji dan belum nampak apa-apa kekuatan. Jadi tak banyak beri kesan kepada kawasan-kawasan yang PH tandingi. Cuma pecah undi mungkin akan berlaku terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman bahawa parti itu sudah mengenal pasti lima kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak untuk ditandingi pada PRU ke-15 nanti.
ARTIKEL BERKAITAN - PRU15: Putra mahu tanding 15 kerusi di Perak
Sementara itu, Khairol Najib berkata, semua parti berhak untuk bertanding dan bersaing dalam proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Bagamanapun katanya, Putra seharusnya mengambil pengajaran daripada parti Berjasa yang pernah meletakkan calon bertanding pada PRU lepas tetapi tidak memberikan banyak kesan.
Beliau berkata, Amanah akan terus fokus untuk melaksanakan gerak kerja di kawasan-kawasan yang mereka tandingi.