Hanya umum calon PM minggu depan jika ada: Fahmi

Iklan
FAHMI FADZIL

KUALA LUMPUR -"Kalau ada kami akan umum (minggu hadapan). Kalau tiada, kami tidak akan sebut apa-apa. Tiada komen lain daripada itu."

Demikian kenyataan ringkas Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil apabila ditanya sama ada Sekretariat Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat bagi memutuskan isu calon Perdana Menteri dalam bagi mewakili pakatan itu pada minggu hadapan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PKR dan Sekretariat PH juga tidak pernah mengumumkan sebarang mesyuarat akan diadakan pada hari ini (Jumaat) bagi membincangkan perkara sama.

"Persoalan ada ke tidak mesyuarat PH (bagi membincangkan isu calon Perdana Menteri) PH dibangkitkan oleh wartawan.

Iklan

"Kita tidak pernah umum hendak adakan sebarang mesyuarat hari ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hari ini, beberapa media tempatan melaporkan PH dengan kerjasama fraksi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dijangka akan mengadakan mesyuarat bagi memutuskan isu calon Perdana Menteri bagi mewakili gabungan itu pada minggu hadapan.

Iklan

Terdahulu, Dr Mahathir bersama sebilangan penyokongnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan pencalonan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan PH Plus, minggu lalu.

Cadangan itu dikemukakan susulan PKR menolak cadangan awal pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditawarkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

PKR tetap bertegas mahukan Anwar yang juga Presiden parti itu dijadikan calon Perdana Menteri bagi PH Plus sebagaimana dikemukakan dalam mesyuarat pertama PH Plus bertarikh 9 Jun.

Inisiatif pencalonan Mohd Shafie turut dibincangkan dalam satu pertemuan antara Dr Mahathir dengan pemimpin DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Warisan pada 25 Jun lalu.

DAP dan Amanah dikatakan bersetuju dengan pandangan itu, bagaimanapun kedua-dua parti itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan mereka perlu berbincang dengan kepimpinan peringkat tertinggi parti masing-masing sebelum diputuskan bersama dalam PH.

DAP turut mencadangkan Majlis Presiden PH diadakan sebelum sidang Parlimen berlangsung pada 13 Julai ini.