SHAH ALAM - Kakak sulung kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak bersetuju dengan dakwaan yang dirinya tidak rapat dengan adik bongsunya itu.
Saksi pendakwaan ke-21 perbicaraan kes pembunuhan Nazrin, Che Elainee Che Hassan, 63, berkata, walaupun beliau kurang berkomunikasi dengan adiknya secara peribadi menerusi aplikasi WhatsApp, namun itu tidak membuktikan dirinya tidak rapat dengan Nazrin.
"Saya tidak bersetuju yang saya tidak rapat dengan Nazrin. Walaupun saya jarang berkomunikasi dengannya menerusi WhatsApp tetapi ada bentuk komunikasi lain antara saya dan dia. Ada call (telefon), SMS (khidmat pesanan ringkas) dan berjumpa.
"Saya berkomunikasi dengan dia (Nazrin) bukan hanya dengan satu nombor dia sahaja tetapi ada satu lagi nombor lain (milik Nazrin),” katanya bagi menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid mengenai hubungan beliau dengan Nazrin, di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.
Terdahulu, Che Elainee menjelaskan yang beliau berkomunikasi dengan Nazrin menerusi aplikasi WhatsApp sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh sebulan.
Che Elainee turut memberitahu mahkamah yang beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa hubungan seorang lagi adiknya iaitu Dr Malek Reedzwan dengan arwah adalah tidak baik.
"Hubungan kami (dengan Nazrin) baik sehingga Nazrin meninggal. Samirah (isteri Nazrin) sendiri melihat hubungan kami adik-beradik adalah baik," katanya.
Isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.
Perbicaraan bersambung Isnin ini. - Bernama