Isu kunci tayar: Majlis NGO gesa kaji kadar kompaun

Iklan
ABDUL AZIZ

JELI - Majlis NGO Negeri Kelantan menggesa kerajaan negeri mengkaji semula kadar kompaun dikenakan terhadap pengguna tempat letak kereta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang disifatkan sangat membebankan.

Presidennya, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, kadar kompaun yang dikenakan bagi kesalahan meletak kenderaan di negeri ini perlu dikurangkan selepas begitu banyak bebanan terpaksa ditanggung rakyat ketika ini.

Iklan
Iklan

"Dalam keadaan sekarang ini, kalau boleh jangan tambah lagi beban rakyat.

"Rakyat sudah cukup terbeban dengan penurunan harga getah, selain kenaikan harga minyak dan barangan, dan sekarang ditambah pula dengan kadar kompaun yang tinggi seperti ini," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Iklan

Abdul Aziz berkata, banyak rungutan diterima berkenaan kadar kompaun tersebut sejak kebelakangan ini dan situasi ini sangat dikesali.

Katanya, lebih membebankan apabila pengguna yang dikunci tayarnya perlu menjelaskan tunggakan saman parkir sedia ada sebelum kunci tayar mereka dibuka.

Iklan

"Adalah lebih baik jika ada campur tangan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam isu ini agar kelonggaran dapat diberikan dalam pelaksanaannya.

"Kalau boleh tangguhkan dulu beberapa bulan penguatkuasaan berkenaan yang difahamkan telah di swastakan kepada pihak tertentu," katanya.

Jelasnya, jangan kerana mahu selesaikan masalah kewangan negeri, kerajaan negeri menggunakan kaedah ini yang tidak membantu malah membebankan rakyat.