KUALA LUMPUR - Calon Naib Ketua Armada Bersatu Nasional dari Sabah, Ceasar Mandela Malakun berharap dapat membawa pembaharuan dalam sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu terutama penglibatan secara menyeluruh ahli di semua peringkat dalam perjuangan parti.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Armada Negeri Sabah berkata, kesemua pembaharuan berkenaan hanya dapat dicapai sekiranya keseluruhan ahli Armada Bersatu terus memperkukuhkan perpaduan dalam parti dengan mengenepikan semua perbezaan yang tidak menguntungkan perjuangan.
"Agenda pembaharuan pentadbiran, pengukuhan Armada Bersatu dan elemen dinamika dalam parti yang memberi inspirasi kepada saya untuk menawarkan diri merebut kerusi Naib Ketua Armada Bersatu Nasional.
"Saya ingin melihat Armada Bersatu semakin mantap dan terus kekal relevan memperjuangkan nasib orang muda pribumi di negara ini,” katanya dalam siri jelajah beliau di semenanjung sejak minggu lalu.
Ceasar Mandela yang juga Ketua Armada Bahagian Penampang berkata, sebagai wakil calon dari negeri di bawah bayu, beliau membawa ‘salam penyatuan dan perpaduan’ kepada seluruh ahli Armada Bersatu terutama di semenanjung dalam bersama memperkasakan aspirasi parti tanpa batas sempadan.
Ujar beliau, semangat setiakawan dan perjuangan antara Sabah-Semenanjung Malaysia kekal bersatu di bawah satu lambang parti dan beliau sedia menjadi jambatan perpaduan dalam Armada Bersatu Nasional.
"Saya akui cabaran untuk saya bertanding jawatan Naib Ketua Armada Nasional bukan mudah apatah lagi Bersatu cukup dominan di semenanjung. Namun, biarpun saya berasal dari Sabah saya percaya pemikiran keseluruhan ahli Armada cukup matang untuk mengetepikan garisan sempadan lautan demi keikhlasan perjuangan.
"Saya mahu menjadi jambatan perpaduan dan keharmonian antara ahli Armada Bersatu di semenanjung dan juga ahli Armada Bersatu di Sabah. Semangat antara negeri-negeri ini akan bersatu secara utuh di bawah payung parti keramat ini,” katanya.
Ceasar Mandela juga berjanji untuk memberikan segala yang terbaik dan termampu sekiranya diberi peluang untuk menduduki kerusi Naib Ketua Armada Nasional oleh para perwakilan nanti.