Simbah cat pada tugu Francis Light disyaki tanda protes

Iklan
Tugu Francis Light yang disimbah cat merah pada 30 Jun lalu.

GEORGETOWN- Polis mengesyaki perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah pada tugu Francis Light adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap beberapa tokoh Eropah semasa Perang Dunia Pertama.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian yang berlaku di Fort Cornwallis, Jalan Tun Syed Barakbah itu dilihat mempunyai kaitan dengan kejadian simbah cat merah pada patung (statue) yang berlaku di kebanyakan negara pada waktu ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setelah siasatan dijalankan, pihaknya percaya perbuatan itu dilihat sebagai protes dan rasa tidak puas hati terhadap beberapa tokoh warga asing (Eropah) semasa Perang Dunia Pertama kerana mengamalkan sistem hamba (slavery) dan sistem kolonial (colonialism).

"Polis menerima laporan daripada pengurus operasi Fort Cornwallis pada jam 8.13 pagi, 30 Jun lalu tentang kejadian tersebut. Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga gagal untuk mengenalpasti pelaku kerana CCTV tidak menjurus ke lokasi kejadian.

Iklan

"Bagaimanapun, siasatan mendapati, kes ini dipercayai mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku di kebanyakan negara pada waktu ini yang mana ia disebabkan rasa tidak puas hati dan tanda protes terhadap beberapa tokoh Eropah semasa Perang Dunia Pertama," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, semakan mendapati, terdapat kes simbah cat pada tugu tokoh kolonial di beberapa negara antaranya George Washington Statue di New York pada 29 Jun, Hubert Lyautey di Perancis pada (22 Jun) dan Christopher Columbus di Massachusetts pada 24 Jun.

Iklan

"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurul Syaheera Hussin di talian 04-2282222 atau balai polis terdekat," katanya.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati cat merah telah dicuci namun masih ternampak kesan cat pada tugu tersebut.