SOP permudahkan urusan pengundian

Iklan

PEKAN - Suasana di beberapa pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berlangsung tenang dan teratur pagi ini.

Pusat pengundian yang dibuka seawal jam 8 pagi menyaksikan rata-rata pengundi mengambil peluang keluar mengundi di sebelah pagi walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan mereka keluar mengundi mengikut 'waktu keluar mengundi yang digalakkan' sebagaimana yang tercatat pada kad pengundi yang diterima.

Iklan
Iklan

Bagi pengundi pertama yang memasuki pusat mengundi di Dewan Semai Bakti Felda Chini 3, Samsiah Jaafar, 60, berkata, dia memilih untuk keluar mengundi lebih awal bagi mengelakkan kemungkinan berlaku kesesakan di tempat mengundi.

Samsiah mengakui tidak menghadapi masalah untuk mengundi kali ini walaupun diminta mengikut garis panduan dan prosedur oeprasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Iklan

"Semuanya tiada masalah dan mudah tidak seperti mana yang dianggap sebelum ini.

"Apa yang penting kita ikut arahan petugas di sini supaya semuanya berjalan lancar dan selamat," katanya.

Iklan

Sementara itu bagi Mariam Dullah, 60-an, walaupun dalam keadaan kurang sihat, dia tetap mengambil peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Katanya, garis panduan dan SOP ditetapkan semasa mengundi juga tidak menyukarkan pengundi malah lebih teratur bagi mengelakkan penularan Covid-19.

"Baguslah bila ada garis panduan seperti kena jaga jarak sosial, saring suhu badan dan pakai topeng muka demi kepentingan bersama.

"Sebelum ini pun tak bimbang sangat kerana kita jaga kita dan garis panduan yang ada sekurang-kurangnya kita yakin proses pengundian dapat berjalan dengan selamat," katanya.

Bagi penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Khalib, 24, berkata, dia sepatutnya datang mengundi jam 2 petang jika mengikut 'masa yang digalakkan keluar mengundi' yang tercatat pada kad pengundinya.

Bagaimanapun katanya, dia datang pada sebelah pagi kerana terpaksa menemani ayahnya untuk mengundi di pusat mengundi Dewan Semai Bakti Felda Chini 3.

"Saya datang seawal jam 8 pagi dan selesai mengundi dalam tempoh beberapa minit sahaja.

"Walaupun ada garis panduan kena ikut, bagi saya langsung tiada masalah malah ia satu langkah cukup baik dalam keadaan kita sama-sama menjaga bagi mengelak penularan pandemik Covid-19," katanya.

Muhammad berkata, kemudahan yang disediakan seperti kerusi roda untuk pengundi uzur juga mencukupi.

"Banyak penambahbaikan dilakukan dan yang pasti PRK kali ini memberi satu pengalaman baru," katanya.

Bagi pengundi luar, Mohd Saiful Mat Isa, 32, yang tinggal di Meru, Klang berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN Chini.

"Sebagai rakyat, mengundi adalah tanggungjawab kita jadi, semalam saya dan keluarga pulang ke Chini ini untuk sama-sama mengundi bagi memilih wakil rakyat baharu.

"Mulanya ingat dengan garis panduan yang ditetapkan, proses mengundi akan memakan masa tapi sebaliknya lebih cepat dalam beberapa minit sudah selesai," katanya.