'Liverpool belajar sesuatu di Etihad'

Iklan
JORDAN HENDERSON
Kapten Liverpool, Jordan Henderson mengakui pemain The Reds cukup kecewa di sebalik keyakinan menebal juara baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mampu memberikan aksi terbaik semasa kunjungan ke Etihad menentang Manchester City sebelum dibelasah 4-0, kelmarin.

Bagaimanapun anak buah Jurgen Klopp ditunjukkan realiti sebenar bola sepak skuad kendalian Pep Guardiola dengan jaringan Kevin De Bruyne, Raheem Sterling, Phil Foden dan jaringan sendiri Alex Oxlade-Chamberlain untuk kemenangan besar The Citizens.

Kekalahan besar The Reds itu mengundang dakwaan bahawa pemain tidak memberi sepenuh tumpuan selepas meraikan kejayaan gemilang kelab berkenaan bagaimanapun segera dinafikan Klopp.

Sebaliknya Henderson menegaskan kekalahan besar di Etihad itu sebagai proses pembelajaran berguna kepada pemain Liverpool sebelum misi mempertahankan kejuaraan musim depan.

"Kami tidak membuat alasan. Kami sangat kecewa dan kami mengharapkan lebih banyak dari diri kami, tetapi ini boleh menjadi pengajaran bagi kami untuk terus maju jika kami mahu memperbaiki diri dan terus bersaing untuk merebut kejuaraan dan terus muncul juara musim depan dan pertandingan lain juga.

"Kita perlu terus maju bertambah baik dan terus belajar. Ini adalah keluk pembelajaran jadi kami perlu bertindak balas dengan cara yang betul pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Skuad Klopp sebelum perlawanan diberikan 'tunduk hormat' Guardiola dan barisan pemainnya sebelum tuan rumah mendahului 3-0 pada babak pertama.

Mengakui jumlah gol dilepaskan The Reds di Etihad sebagai sesuatu yang perlu diberikan perhatian, namun pada masa sama pemain tengah berusia 30 tahun itu menegaskan kegagalan menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk jaringan menyebabkan pelawat berputih mata.

"Ya, kami kecewa dengan jumlah gol yang dilepaskan pada perlawanan ini. Tapi harus diingat bahawa kami juga kecewa apabila gagal menyempurnakan deretan peluang menjaringkan gol.

"Jadi apabila dua situasi itu kami tidak berada dalam keadaan terbaik maka kami dihukum. Tapi saya yakin karakter pemain Liverpool masih fokus kepada misi biarpun hasrat melakar kemenangan di sini tidak kesampaian kerana pada aksi ini Manchester City lebih baik.

"Anda harus memberi penghargaan kepada City, kelab yang hebat dan memanfaatkan setiap peluang mereka. Kami pula akui kecewa terpaksa menelan kepahitan selepas perlawanan tambahan pula dengan keputusan tidak sepatutnya.

"Sekiranya anda (wartawan) ingin menulis cerita bahawa kami tidak fokus dalam permainan ini maka silakanlah, tetapi saya gembira dengan sikap pemain Liverpool.

"Saya melihat musim City tidak bermain buruk, walaupun mereka kalah. Sekiranya ada kelab yang dapat menghancurkan kita seperti ini, ia mungkin City tetapi kita akan kembali lagi.”